Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan tawaran bayaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) RM150 yang sepatutnya berakhir semalam (30 Jun), akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025.
Seperti sebelum ini, kadar kompaun khas ini adalah untuk tiga kesalahan yang melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A) dari Oktober 2018 hingga kini, Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115), kedua-duanya untuk tahun 2024 dan sebelumnya.
Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly Ramli berkata sehingga 30 Jun 2025, hanya 442,870 saman yang telah diselesaikan menerusi tawaran yang diperkenalkan sejak 2 Januari lalu. Manakala terdapat 2,025,322 saman yang belum dijelaskan.
Mengikut pecahan jumlah saman terbabit, sebanyak 412,256 saman AWAS telah diselesaikan, manakala 1,542,135 saman di bawah kategori yang sama masih tertunggak. Bagi Notis 114 pula, hanya 24,709 saman yang telah dilunaskan dan 311,866 saman lagi masih tertunggak. Untuk Notis 115, 5,905 saman telah dibayar dan 171,321 saman masih belum dijelaskan.
“Orang ramai disaran untuk tidak melepaskan peluang lanjutan tawaran ini dengan menyelesaikan saman tertunggak sebelum tempoh tawaran berakhir pada 31 Disember 2025.
“Kegagalan menyelesaikan mana-mana saman yang boleh dikompaun sama ada yang tertunggak atau telah melebihi tarikh kompaun boleh menyebabkan kenderaan disenarai hitam oleh JPJ secara automatik oleh sistem bermula 1 Julai 2025,” kata Aedy menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Pembayaran kompaun ini boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter mobile JPJ serta aplikasi myJPJ. Walau bagaimana pun, urusan pembayaran kompaun ini tidak boleh dilakukan melalui saluran MyEG dan di Pos Malaysia.
The post JPJ lanjutkan kompaun khas kadar rata RM150 hingga 31 Dis 2025 – disenaraihitamkan jika tak bayar saman appeared first on Paul Tan’s Automotive News.