Bagi empat hari pertama pelaksanaan tawaran diskaun saman 50% sejak 1 November lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip sebanyak RM7.36 juta bagi 56,156 kompaun yang dibayar, laporan Bernama.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, walau bagaimana pun, masih ada 5.5 juta saman yang dikeluarkan oleh JPJ atas pelbagai kesalahan jalan raya masih belum dijelaskan setakat ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 3.68 juta saman dikeluarkan di bawah notis JPJ P(22) manakala 1.38 juta lagi membabitkan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).

“Orang ramai yang mempunyai saman tertunggak supaya mengambil peluang menyelesaikannya melalui tawaran diskaun 50% yang diberikan JPJ mulai 1 November hingga 30 Disember ini bagi mengelakkan tindakan mahkamah atau disenarai hitam Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Bermula 1 Januari depan, bagi kes yang perlu ke mahkamah, kita akan ke mahkamah, kalau tidak, kita akan terus senarai hitam LKM, maksudnya tidak boleh perbaharui cukai jalan. Sekiranya kesalahan membabitkan pemandu, kita akan senarai hitam lesen memandu juga tetapi biasanya, saman JPJ lebih kepada kesalahan kenderaan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya semalam.

JPJ kutip RM7.36j dalam tempoh 4 hari pertama diskaun saman;  5.5j saman masih belum dilangsaikan

Berkenaan dengan perbezaan kadar diskaun antara JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun 70%, Loke berkata, JPJ mengekalkan kadar 50% kerana diskaun sama telah diberikan bagi tiga jenis kesalahan sejak awal tahun ini.

“Sebelum ini, kita beri diskaun 50 peratus untuk saman AwAS, Notis Temu Siasat dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23, jadi tidak adil untuk mereka yang dah bayar,” katanya.

Pada 22 Oktober lalu, Loke telah mengumumkan kadar dan kaedah kompaun saman trafik yang dikeluarkan oleh JPJ dan PDRM akan diselaras. Di mana diskaun saman berasaskan program atau kempen khas akan digantikan dengan prinsip The Less You Delay, The Less You Pay atau ‘Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar’.

Beliau berkata, berdasarkan struktur baharu itu, bayaran yang dibuat dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan 50%, manakala 16 hingga 30 hari mendapat pengurangan 33%. Manakala bayaran yang dijelaskan dalam tempoh antara 31 hingga 60 hari pula dikenakan kadar kompaun maksimum, manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan.

Bagaimanapun, insentif baharu itu tidak terpakai bagi kesalahan serius yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, tiada lesen memandu atau mempamerkan lesen kenderaan motor (LKM) palsu.

The post JPJ kutip RM7.36j dalam tempoh 4 hari pertama diskaun saman; 5.5j saman masih belum dilangsaikan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts