JPJ telah mengumpul sebanyak RM5.65 bilion sepanjang 2025, yang menjadi pendapatan paling tinggi setakat ini. Rekod ini mencatatkan peningkatan sebanyak 6.05% berbanding tahun 2024, dengan kutipan RM5.33 bilion, yang juga merupakan rekod sebelum ini. Terdahulu, rekod kutipan terbanyak adalah sebanyak RM5.074 bilion pada 2023 — peningkatan dan rekod yang dipecahkan setiap tahun.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan Kosmo bahawa bulan Oktober dan Disember merupakan bulan dengan kutipan terbanyak, dengan jumlah yang melebihi RM500 juta. Program diskaun saman 50% yang bermula pada 1 November 2025 hingga hujung tahun turut menjadi penyumbang kepada perkara ini.

Beliau juga berkata, pendapatan dari hasil cukai jalan (Lesen Kenderaan Motor) adalah penyumbang terbesar dengan RM3.43 bilion, sementara kutipan daripada lesen memandu (Lesen Memandu Malaysia) dan saman masing-masing sebanyak RM614 juta dan RM426 juta.

Beliau menjelaskan, penjelasan perkhidmatan digital seperti aplikasi MyJPJ turut menjadi antara faktor yang membantu pengumpulan pendapatan ini kekal di atas paras RM5 bilion.

“Selain itu, pelaksanaan beberapa operasi penguatkuasaan dan kempen keselamatan, serta pengukuhan tadbir-urus yang lebih baik, serta kawalan dalaman dan integriti, sama-sama menyumbang ke arah itu,” jelasnya. Tidak pula dinyatakan tentang kutipan daripada jualan nombor plat khas, tetapi itu tentunya satu daripada saluran pendapatan yang turut menyumbang.

Ketua Pengarah JPJ itu juga menambah, Ops Perang Lebih Muatan yang mensasarkan lori lebih muatan telah mencatatkan sebanyak 3,563 kesalahan sejak dilancarkan pada 14 Oktober tahun lalu. Setakat 30 Disember 2025, sebanyak 169,965 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 6,340 telah dikenakan tindakan.

The post JPJ kutip RM5.65 bilion sepanjang 2025 — naik 6%, rekod tertinggi; diskaun saman 50% jadi penyumbang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts