Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur telah memeriksa sebanyak 241 kenderaan mewah menerusi Ops Luxury sejak Julai tahun ini, dengan 92 kereta disita atas pelbagai kesalahan, laporan Sinar Harian.
“Dalam minggu ini sahaja, beberapa kenderaan mewah seperti Lamborghini Aventador dan Porsche 911 telah disita atas pelbagai kesalahan,” kata Hamidi Adam, Pengarah JPJ KL. Beliau menambah bahawa pihaknya juga telag mengeluarkan sebanyak 401 notis dalam tempoh ini atas pelbagai kesalahan.
Ini termasuk kenderaan yang cukai jalannya tiada atau tamat tempoh (177 kes), tiada insurans kenderaan yang sah (160 kes), tiada pendaftaran yang sah (10 kes) atau mempamerkan nombor pendaftaran milik kenderaan lain (enam kes). Sementara itu, 45 pemandu didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah, dengan seorang daripadanya menggunakan lesen palsu.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengabaikan peraturan sehingga membahayakan nyawa, merosakkan infrastruktur atau menjejaskan integriti sistem pengangkutan negara,” kata Hamidi.
The post JPJ KL periksa 241 kenderaan mewah menerusi Ops Luxury sejak Julai 2025 – 92 kereta telah disita appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















