Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenalpasti lebih 15 juta kenderaan di seluruh negara yang tidak diperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM atau cukai jalan) melebihi 5 tahun, laporan Berita Harian. Ini mewakili kira-kira 37% daripada 41 juta kenderaan yang kini didaftarkan dalam pangkalan data JPJ setakat Disember tahun lalu, dengan sebahagian besar dipercayai merupakan kenderaan terbiar atau yang telah tamat jangka hayat.

Menurut setiausaha bahagian darat Kementerian Pengangkutan (MOT), Mohamed Irwan Mansor, motosikal merupakan majoriti kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh iaitu sebanyak 9.76 juta unit. Ini diikuti oleh 4.07 juta kereta persendirian, manakala baki dua juta lagi terdiri daripada bas, teksi, kereta sewa dan kenderaan barangan.

“Berdasarkan angka ini, kami bimbang apabila cukai jalan kenderaan tidak diperbaharui melebihi lima tahun, ia berisiko tinggi menjadi kenderaan terbiar. Bagi kenderaan yang tidak lagi digunakan, ia sepatutnya dilupuskan melalui saluran yang betul supaya boleh dikeluarkan secara rasmi daripada daftar JPJ,” katanya.

Data tersebut turut menunjukkan bahawa kini terdapat 15.61 juta kereta aktif dengan cukai jalan yang sah, menjadikan jumlah keseluruhan kereta di negara ini termasuk yang tidak aktif adalah sebanyak 19.69 juta unit. Sementara itu, pendaftaran motosikal adalah sebanyak 18.9 juta unit, namun 9.2 juta daripadanya kini dianggap tidak aktif di jalan raya.

JPJ kenalpasti 15 juta kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh lebih 5 tahun, majoritinya motosikal

Bagi menangani isu kenderaan lama dan terbiar, MOT melancarkan program geran padanan untuk penggantian kenderaan lama pada Januari tahun ini. Di bawah inisiatif bernilai RM10 juta ini, penerima yang layak dengan kenderaan berusia 20 tahun atau lebih boleh menerima geran sehingga RM2,000, yang kemudiannya akan dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan yang mengambil bahagian apabila menukar kepada kenderaan yang lebih baharu.

Pada masa ini, program tersebut melibatkan semua model Proton, serta model Perodua Aruz dan Ativa. Walaupun sesebuah kenderaan tidak lagi layak digunakan di jalan raya, ia masih layak menerima geran tersebut selagi nombor enjin dan casis masih ada dan pemiliknya merupakan ahli keluarga terdekat pemohon. Setakat ini, hampir 3,000 pemilik kenderaan lama telah menyertai program geran padanan tersebut, dengan RM4.43 juta geran telah pun disalurkan.

Mohamed Irwan Mansor turut berkata kementerian akan menggunakan kaedah teknologi tinggi bagi penguatkuasaan cukai jalan, dengan JPJ dijangka melaksanakan sistem pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR) untuk mengesan kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh. “Ini merupakan langkah awal untuk menjejaki lebih 2,000 kereta terbiar. Kami berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan melupuskan kenderaan dengan cara yang betul,” tambahnya.

The post JPJ kenalpasti 15 juta kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh lebih 5 tahun, majoritinya motosikal appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts