Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kedah telah mengeluarkan 4,513 saman selepas melakukan pemeriksaan ke atas 13,902 buah kenderaan perdagangan di bawah Ops Perang Lebih Muatan yang telah dijalankan sejak Oktober lalu, lapor Bernama. Operasi tersebut yang akan berlangsung hingga hujung tahun mensasarkan pemandu dan kenderaan perdagangan yang melanggar peraturan, terutamanya dengan membawa lebih muatan.
“Operasi ini melibatkan negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, serta dilakukan secara berperingkat. P. Pinang dari 17-23 November, dan di wilayah Utara secara bersepadu dari 19-21 Disember,” jelas Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam kepada pemberita semalam. 45 daripada 4,513 saman yang dikeluarkan itu adalah atas kesalahan lebih muatan, termasuk tiga kes dengan bebanan melebihi 50% daripada had yang dibenarkan.
“Setakat ini, tiga kenderaan telah dilucutkan statusnya sepanjang operasi berlangsung — satu di P. Pinang dan dua di Kedah. Keseluruhannya, enam kenderaan telah dilucutkan status di Kedah bagi tempoh Jun-Disember tahun ini,” tambah beliau, dengan menambah bahawa 60 pegawai penguatkuasa telah dikerahkan dalam setiap fasa, melibatkan rondaan bergerak dan di lokasi strategik, termasuk laluan logistik dan kawasan berisiko tinggi untuk lebihan muatan.
Kutipan saman di Kedah sejak awal 2025 pula kini mencecah RM23,399,865, dengan RM20,049,665 adalah melalui kompaun dan RM3,350,200 melalui sidang mahkamah.
The post JPJ Kedah keluar 4,513 saman ke atas kenderaan berat appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















