Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan bahawa tiada lagi had harian bagi nombor giliran yang dikeluarkan di semua cawangannya di seluruh negara sejak 13 Januari lalu. Langkah ini diambil susulan maklum balas pelanggan yang mengadu nombor giliran di kaunter perkhidmatan habis walaupun waktu operasi masih berbaki, laporan Malay Mail.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, had nombor giliran sebelum ini bukan disebabkan kaunter ditutup lebih awal, sebaliknya kerana had harian ditetapkan berdasarkan kapasiti operasi sebenar.

“Had giliran sebelum ini ditentukan mengikut sumber manusia, tempoh masa perkhidmatan, serta jenis transaksi yang memerlukan pemeriksaan dan pengesahan fizikal. Tujuannya adalah untuk memastikan setiap pelanggan yang menerima nombor dapat dilayan dengan baik dalam tempoh waktu operasi tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.

JPJ hapuskan had harian nombor giliran, semua pelanggan akan dilayan sepanjang waktu operasi

Beliau berkata, sistem JPJeQ telah mengeluarkan 9.3 juta nombor giliran pada tahun lalu, dengan anggaran sekitar 39,000 nombor sehari di seluruh negara. Di mana keadaan itu mencerminkan kehadiran pelanggan yang tinggi serta kebergantungan yang ketara terhadap perkhidmatan kaunter fizikal.

Namun begitu, beliau mengakui wujud persepsi negatif apabila pelanggan yang datang lewat tidak lagi dapat memperoleh nombor giliran walaupun kaunter masih dibuka. “JPJ memahami kebimbangan orang ramai. Oleh itu, kami telah memutuskan untuk menambah baik pendekatan sedia ada supaya tiada pelanggan yang merasakan hak mereka untuk mendapatkan perkhidmatan dinafikan,” jelasnya.

Aedy Fadly berkata semua pelanggan yang hadir dalam waktu operasi berhak menerima nombor giliran dan seterusnya mendapatkan perkhidmatan, dengan sistem JPJeQ terus digunakan bagi mengurus aliran pelanggan dengan lebih cekap. Semua cawangan JPJ akan melaksanakan pengeluaran nombor giliran tanpa had sepanjang waktu operasi, iaitu dari 7.45 pagi hingga 5.30 petang pada hari Isnin dan Jumaat, serta dari 8.00 pagi hingga 4.30 petang pada hari Selasa hingga Khamis.

JPJ hapuskan had harian nombor giliran, semua pelanggan akan dilayan sepanjang waktu operasi

Tambah beliau, bagi memastikan pelaksanaan proses baharu itu berjalan lancar, JPJ telah memperkukuh pengurusan dalaman, termasuk penempatan kakitangan pada waktu puncak, pengoptimuman aliran kerja kaunter, pemantauan berterusan oleh pengurusan pejabat negeri dan cawangan, serta penambahbaikan penyelarasan antara jabatan.

“Pendirian JPJ adalah jelas dan tegas. Semua kaunter mesti beroperasi sepenuhnya mengikut waktu yang ditetapkan, kecuali dalam situasi teknikal atau keselamatan yang tidak dapat dielakkan. Sebarang penutupan kaunter tanpa alasan munasabah adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya lagi, JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau ketidakpatuhan yang menjejaskan pelanggan, dan tindakan pentadbiran atau tatatertib akan diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat kelemahan atau kelompongan dalam pengurusan kaunter.

The post JPJ hapuskan had harian nombor giliran, semua pelanggan akan dilayan sepanjang waktu operasi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts