Memasuki bulan pertama untuk tahun 2026 ini, makin banyak syarikat pengeluar kenderaan bakal melancarkan model terkini untuk pasaran Malaysia. Malah masih ada yang meneruskan kempen promosi jualan sejak akhir tahun lalu yang bersambung hingga Tahun Baharu Cina. Jadi banyak pemberian diskaun diberikan untuk stok model tahun lalu yang masih berbaki dan juga model pengeluaran terkini. Inilah masa yang bersesuaian untuk membeli kenderaan baharu.
Kalau dah ada yang menempahnya, ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Perak dan Sarawak dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, APJ, telah dibuka bidaan sejak semalam, 5 Januari. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 9 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 10 Januari 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.
Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QDE, bakal dibuka bidaan mulai 7 Januari. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 11 Januari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 12 Januari 2025.
Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.
The post JPJ eBid: APJ dan QDE dibuka untuk bidaan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















