Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan sejumlah 2,685 kenderaan mewah telah ditahan kerana gagal memperbaharui cukai jalan kenderaan (Lesen Kenderaan Motor atau LKM) pada tahun ini. Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, angka tersebut direkodkan dari 1 Januari hingga 18 Disember tahun ini, yang kebanyakannya ditahan menerusi Ops Luxury, yang dilaksanakan mulai akhir Jun lalu.
“Daripada 2,685 kenderaan mewah yang gagal memperbaharui LKM, Porsche mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,887 kenderaan, diikuti Ferrari (223), Lamborghini (195), Bentley (172), Maserati (88), Rolls-Royce (64) dan Aston Martin (56),” katanya, sambil menambah bahawa sebanyak 855 kenderaan mewah telah disita sejak Ops Luxury dilaksanakan.
Tambahnya, kesemua 2,685 kenderaan yang tidak mematuhi peraturan itu masih berada di bawah pemantauan penguatkuasaan, dan tindakan penyitaan akan diambil sekiranya LKM tidak diperbaharui dengan segera. Beliau turut menegaskan bahawa kenderaan yang digunakan tanpa LKM yang sah membawa risiko tinggi kerana tidak dilindungi insurans, sekali gus berpotensi menyebabkan liabiliti kewangan dan perundangan yang serius sekiranya berlaku kemalangan.
Muhammad Kifli berkata, antara kesan pelaksanaan Ops Luxury ialah berlakunya peningkatan ketara dalam pembaharuan LKM bagi kenderaan mewah, melibatkan sebanyak 12,921 kenderaan, dengan jumlah kutipan keseluruhan mencecah RM34.47 juta, laporan Borneo Post.
“Porsche sekali lagi mencatatkan nilai pembaharuan tertinggi, dengan kutipan (bagi 10,142 kenderaan) mencecah RM17.94 juta,” katanya lagi.
Pada bulan September lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan bahawa seramai 6,360 pemilik kenderaan mewah di Malaysia yang terdiri daripada jenama Rolls-Royce, Lamborghini, Bentley, Ferrari dan Porsche, telah merekodkan tunggakan cukai jalan hampir RM35.7 juta.
Senarai yang dikeluarkan oleh JPJ mendedahkan bahawa Rolls-Royce melibatkan 345 unit dengan tunggakan RM6,455,563.70, 372 unit Lamborghini (RM3,761,345.40), 660 unit Bentley (RM7,055,197.10), 675 unit Ferrari (RM4,718,395.60), dan 4,308 unit Porsche (RM13,751,078.20).
The post JPJ ‘cekup’ 2,685 pemilik kenderaan mewah yang tiada cukai jalan yang sah – Porsche mendahului senarai appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















