Ketika Jetour T2 dilancarkan ke pasaran tempatan bulan lalu, Jetour Malaysia ada menawarkan rebat tunai RM2,000 untuk 3,000 unit pertama yang didaftarkan, membolehkan harga atas jalan tanpa insuran SUV berkenaan menjadi RM155,669 berbanding harga asal RM157,669.
Berita baik untuk mereka yang mungkin terlepas peluang untuk merebut rebat berkenaan, kini Jetour Malaysia membuka ‘peluang kedua’ dengan menawarkan rebat tunai yang sama bagi tambahan 2,000 unit lagi T2. Ini menjadikan secara keseluruhan sebanyak 5,000 unit Jetour T2 terawal yang didaftar di Malaysia menerima rebat istimewa tersebut.
Jetour T2 merupakan SUV yang diasaskan dari casis unibody tetapi didakwa dapat memberikan kebolehan meredah laluan off-road yang baik. Ia hadir dengan rekaan yang lasak di mana dari hadapan T2 kelihatan seperti Ford Bronco Sport, manakala dari sisi dan belakang ia tampil dengan rupa ‘diinspirasikan’ dari Land Rover Defender.
Ia digerakkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 245 PS pada 5,500 rpm dan 375 Nm tork dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm, kemudian dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar.
Kuasa dialirkan menerusi sistem pacuan semua roda yang memberikan lapan mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand, Rock dan X-Mode iaitu mod yang mengaktifkan sistem AWD pintar XWD. Ia juga datang dengan Hill Hold Control, Kawalan Menurun Cerun dan mod Crawl Control yang membolehkan SUV ini ‘merangkak’ ketika meredah laluan off-road.
T2 hanya ditawarkan dalam satu varian di Malaysia, menampilkan perincian-perincian seperti skrin infotainmen yang diletakkan ‘terapung’ bersaiz 15.6-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 10.25-inci, sistem bunyi Sony dengan 12-pembesar suara, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk hadapan dengan fungsi aliran udara, larasan kuasa (pemandu enam hala dengan fungsi memori dan penumpang empat hala), pendingin hawa dua zon dengan penghembus udara kabin belakang, lampu suasana kabin, bumbung kaca panoramik dan sistem kamera 360-darjah.
Untuk keselamatan Jetour T2 pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan enam-beg udara, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu dan sistem pemantau tekanan angin tayar, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2 dengan fungsi termasuk amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan kawalan stereng, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan pelbagai lagi.
Setiap pembelian SUV ini diberikan perlindungan waranti tujuh tahun atau 150,000 km, waranti unit rangkaian kuasa selama 10 tahun atau 1,000,000 km serta servis percuma termasuk alat ganti dan kos buruh sebanyak lima kali.
The post Jetour T2 – rebat RM2k pembeli terawal ditawarkan tambahan kepada 2,000 unit lagi; RM155,669 OTR appeared first on Paul Tan’s Automotive News.














































































































