Selepas tempahannya dibuka pada November tahun lalu, akhirnya hari ini Jetour T2 secara rasmi dilancarkan pada pasaran Malaysia. SUV ini ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu T2 2.0TD XWD, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM156,800.
Jetour Malaysia turut menawarkan rebat sebanyak RM2,000 untuk 3,000 pelanggan pertama yang menempahnya, menjadikan harga lebih murah iaitu RM154,800. Setiap pembelian diberikan perlindungan waranti tujuh tahun atau 150,000 km, waranti unit rangkaian kuasa selama 10 tahun atau 1,000,000 km serta servis percuma termasuk alat ganti dan kos buruh sebanyak lima kali.
Dari segi saiz, T2 dihasilkan dengan dimensi panjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm, tinggi 1870 mm dan jarak roda sejauh 2,800 mm. Jadi ia merupakan SUV yang bertanding dalam kelas segmen-D untuk berhadapan dengan model seperti Chery Tiggo 8 dan Proton X90. Namun ia hanya menampilkan konfigurasi lima-tempat duduk dan direka sebagai SUV off-road sebenar seperti Ford Bronco, Ford Bronco Sport dan Land Rover Defender, tetapi masih dibina berasaskan kerangka unibody.
Jadi ia rekaan luarannya memang direka untuk kelihatan lasak – ia diberikan lampu dan gril hadapan bersegi tetapi dengan grafik LED seperti bulat, bampar hadapan dan belakang seperti trak pikap yang besar dan kelihatan memberikan sudut approach dan berlepas yang baik, overfender pada setiap ruang roda yang lebar serta berfungsi sebagai pelindung badan, running board yang merentasi sepenuhnya bawah sisi badan, rel bumbung, serta ‘kotak’ pada pintu tailgate belakang yang menyimpan tayar gantian pada SUV off-road tradisional.
Jetour T2 ini turut menerima rekaan badan yang bersegi, muka seperti Ford Bronco, serta rekaan sisi dan belakang seolah-olah mendapat inspirasi dari rekaan dari Land Rover Defender. Antara perincian luaran lain yang dipadankan pada T2 pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan dan belakang LED, lampu kabus LED, pintu tailgate belakang dengan fungsi vakum, lampu brek ketiga yang terletak di atas bumbung serta rim aloi 19-inci yang dibalut dengan tayar All-Terrain 255/60R19.
Rekaan yang nampak lasak turut dibawa pada sebelah dalam di mana Jetour T2 ini menerima papan pemuka bersegi menampilkan skrin infotainmen yang diletakkan ‘terapung’ bersaiz 15.6-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 10.25-inci, suis-suis kawalan pendingin hawa fizikal yang disusun seperti kekunci piano, roda stereng berbentuk oblong balutan leatherette, tombol gear juga direka bersegi dengan suis putar pemilih mod off-road turut diletakkan pada konsol tengah.
Perincian dalaman lain yang turut dipadankan termasuk sistem bunyi Sony dengan 12-pembesar suara, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk hadapan dengan fungsi aliran udara, larasan kuasa (pemandu enam hala dengan fungsi memori dan penumpang empat hala), pendingin hawa dua zon dengan penghembus udarakabin belakang, lampu suasana kabin, bumbung kaca panoramik dan sistem kamera 360-darjah.
Untuk unit rangkaian kuasa, Jetour T2 ini sebenarnya berkongsi dengan Chery Tiggo 8 Pro, menampilkan enjin 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 245 PS pada 5,500 rpm dan 375 Nm tork dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar.
Kuasa dialirkan menerusi sistem pacuan semua roda yang memberikan lapan mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand, Rock dan X-Mode iaitu mod yang mengaktifkan sistem AWD pintar XWD. Ia juga datang dengan Hill Hold Control, Kawalan Menurun Cerun dan mod Crawl Control yang membolehkan SUV ini ‘merangkak’ kerita meredah laluan off-road.
Dari segi keselamatan Jetour T2 telahpun menerima penarafan lima-bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) menerusi ujian pelanggaran yang dibuat pada Disember tahun lalu. Ia dilengkapi dengan enam-beg udara, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu dan sistem pemantau tekanan angin tayar.
Jetour T2 pasaran Malaysia ini juga dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2 dengan fungsi termasuk amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan kawalan stereng, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan pelbagai lagi.
Tiga warna badan ditawarkan untuk Jetour T2 di Malaysia termasuk Khaki White, Aviation Silver dan Carbon Black. Buat permulaan Jetour T2 akan ditawarkan dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China, dan selepas ini ia akan dijelmakan dalam versi pemasangan tempatan (CKD), dipasang di Johor menerusi kilang Berjaya Assembly.
The post Jetour T2 dilancarkan di Malaysia – RM154,800 dengan rebat, SUV <em>off-road</em>, 2.0L Turbo 245 PS/375 Nm, AWD appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















































































































