Jetour Auto Malaysia telah memperkenalkan logo baharunya untuk memperkukuhkan kedudukannya pasaran tempatan bagi tahun ini. Kata syarikat tersebut, identiti visual yang diperbaharui ini mencerminkan aspirasi dan komitmen dalam mentakrifkan semula pengalaman perjalanan dengan visinya untuk muncul sebagai jenama hibrid off-road terkemuka dunia.
Berkenaan dengan logo baharu ini, Jetour berkata reka bentuknya diinspirasikan daripada aksara Cina “行” (xing) yang melambangkan pergerakan ke hadapan secara konsisten. Huruf inisial J dan T digabungkan secara kreatif dalam reka bentuk tersebut bagi membentuk simbol yang menyerupai aksara ini, sekali gus menghasilkan identiti visual yang menggambarkan mobiliti, kemajuan dan semangat bertenaga.
Bentuknya yang dinamik mencerminkan persimpangan pelbagai kemungkinan, sejajar dengan kepercayaan Jetour bahawa setiap perjalanan, sama ada di jalan bandar mahupun laluan lasak, berpotensi membuka pengalaman baharu.
“Logo baharu ini mencerminkan semangat Jetour serta falsafah kami dalam mentakrifkan perjalanan melalui tindakan. Ia melambangkan tenaga, keyakinan dan potensi tanpa batas untuk para pelanggan. Di Malaysia dan pasaran global, kami berhasrat untuk mentransformasikan erti perjalanan dengan menggabungkan prestasi, teknologi dan gaya hidup bagi mencipta pengalaman yang lebih bermakna,” kata CEO Jetour Auto Malaysia, Fu Yong.
Dalam masa yang sama, Jetour Auto Malaysia mengesahkan bakal memperkenalkan barisan model T-Series sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang di pasaran Malaysia tahun ini. Model terbabit ialah SUV off-road T1 dan juga T2 (yang pernah dipertontonkan di ACE 2025 anjuran paultan.org pada tahun lalu).
Di China, T1 ditawarkan sama ada dengan enjin 1.5 liter turbo petrol atau 2.0 liter empat-selinder sebaris. Enjin 1.5 liter menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork 290 Nm, dengan pacuan dihantar ke roda hadapan melalui transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.
Sementara itu, unit 2.0 liter menghasilkan 254 PS (251 hp atau 187 kW) dan 390 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan serta pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda. Harga untuk T1 di pasaran asalnya bermula pada 124,900 yuan (sekitar RM73k) dan mencecah sehingga 154,900 yuan (RM90k).
Manakala T2 pula dilengkapi sistem janaan yang sama seperti Chery Tiggo 8 Pro — enjin 2.0 liter turbocas, suntikan terus empat-silinder petrol yang menjana sebanyak 245 PS pada 5,500 rpm dan 390 Nm tork dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar. T2 kini telah dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran RM178,888.
GALERI: Model prototaip Jetour T1 versi pemanduan sebelah kanan di Shanghai pada 2025
GALERI: Jetour T2 yang dipertontonkan di Malaysia pada 2025
The post Jetour Malaysia memperkenalkan logo baharu – bakal lancar model SUV off-road T1 dan T2 tidak lama lagi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.











































































































































































