Jetour Malaysia secara rasmi memperkenalkan Jetour Malaysia Club (JMC), sebuah kelab khas untuk pemilik SUV Jetour Dashing dan Jetour VT9, dengan pemilik model Jetour T2 bakal menyertai komuniti ini dalam masa terdekat.
Bagi meraikan penubuhan kelab tersebut, sekumpulan pemilik Jetour telah menyertai konvoi dari Bamboo Hills, Kuala Lumpur menuju ke Awana di Genting Highlands. Program itu turut disertakan dengan sesi pratonton dan pandu uji awal model T2 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Penubuhan JMC merupakan sebahagian daripada falsafah ‘Travel+’ yang menjadi teras jenama Jetour. Menurut syarikat itu, kelab ini diwujudkan sebagai platform khusus untuk pemilik berhubung, berkongsi pandangan serta menyertai pelbagai aktiviti jenama pada masa akan datang.
Ia bukan sekadar kelab pemilik biasa, sebaliknya mencerminkan komitmen jangka panjang Jetour dalam memastikan hubungan dengan pelanggan berterusan walaupun selepas kenderaan diserahkan.
Selain sesi pandu uji T2, para peserta turut menyertai program Jetour 101 Car Clinic. Bengkel ini memberi pendedahan asas mengenai penjagaan dan penyelenggaraan kenderaan, termasuk cara memahami lampu amaran pada kluster instrumen, memeriksa paras minyak enjin, memantau cecair brek dan penyejuk serta menilai keadaan tayar.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetour Malaysia, Fu Yong, berkata acara sulung bersama pemilik ini membuktikan bagaimana strategi Travel+ dilaksanakan secara menyeluruh di Malaysia. Menurut beliau, penglibatan pelanggan tidak seharusnya terhenti setakat pembelian kenderaan sahaja.
Melalui Jetour Malaysia Club, inisiatif pendidikan seperti Jetour 101 Car Clinic dan pengembangan rangkaian sokongan selepas jualan, syarikat berhasrat membina komuniti pemilik yang lebih yakin dan saling berhubung, di samping mengukuhkan asas perkhidmatan selepas jualan.
Sepanjang tahun lalu, Jetour Malaysia mencatatkan jualan sebanyak 2,741 unit SUV di pasaran tempatan. Bagi menyokong pertumbuhan ini, syarikat merancang untuk memperluaskan rangkaiannya kepada 50 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, berbanding 31 lokasi ketika ini.
Model T2 yang tampil dengan rekaan ala kenderaan utiliti lasak dijadualkan dilancarkan pada suku pertama 2026. Selain itu, model T1 yang menampilkan gaya lebih moden dan kurang berkotak juga sedang dalam perancangan untuk diperkenalkan ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat.
The post Jetour Malaysia Club dilancar untuk pemilik Dashing dan VT9 – SUV T2 bakal lancar bulan hadapan? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























