Walaupun sudah melancarkan Jaecoo J7 PHEV dan Jaecoo J8 dalam tempoh lapan bulan yang lalu, Omoda & Jaecoo Malaysia masih belum kehabisan peluru. Syarikat ini dijangka memperkenalkan dua model baru ketika acara Omoda & Jaecoo Carnival yang akan berlangsung di Desa ParkCity 21 hingga 24 Ogos ini, berdasarkan satu imej promosi yang memaparkan kelibat dua model kenderaan yang masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

Model pertama yang menarik perhatian ialah Jaecoo J5, sebuah SUV saiz lebih kecil berbanding J7 dan dijangka hadir dengan tanda harga yang lebih rendah. J5 sudah pun diperkenalkan di pasaran antarabangsa sejak tahun lalu dan tampil dengan rekaan bersegi seperti Range Rover Evoque yang dijangka menarik minat ramai pembeli.

Di rantau ASEAN, J5 pertama kali dipertontonkan di Indonesia pada Februari lalu dalam versi elektrik, sebelum ke Thailand. Namun untuk pasaran Malaysia, varian enjin petrol dijangka akan dilancarkan terlebih dahulu.

Jaecoo J5, Omoda C9 PHEV dalam teaser Malaysia – pra tonton awam di Desa Park City 21-24 Ogos ini

Model ini menggunakan enjin empat silinder 1.6 liter turbo sama seperti dalam model-model Chery lain. Meskipun angka rasmi belum diumumkan, ia dijangka menawarkan kuasa sekitar 197 PS dan 290 Nm tork, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan sistem pacuan roda hadapan – sama seperti Jaecoo J7.

Model kedua yang menjadi kejutan ialah Omoda C9 PHEV, versi plug-in hybrid kepada SUV lima tempat duduk segmen D itu. Menariknya, model ini pernah digunakan dalam satu cabaran kecekapan bahan api di Afrika Selatan pada Februari lalu, di mana ia berjaya menamatkan perjalanan sejauh 939 km dari Cape Town ke Addo hanya dengan satu isian penuh bahan api dan bateri.

Secara luaran, Omoda C9 PHEV kelihatan hampir sama dengan versi enjin pembakaran biasa. Namun dari segi teknikal, ia menggunakan sistem Super Hybrid System (SHS) yang dinaik taraf berbanding J7 PHEV, berpusat pada enjin 1.5 liter turbo dengan output 143 PS dan 215 Nm.

Jaecoo J5, Omoda C9 PHEV dalam teaser Malaysia – pra tonton awam di Desa Park City 21-24 Ogos ini

Apa yang membezakan C9 PHEV ialah penggunaan tiga motor elektrik bagi sistem pacuan semua roda – dua motor di hadapan masing-masing dengan kuasa 102 PS/170 Nm dan 122 PS/220 Nm, manakala motor belakang menjana 238 PS dan 310 Nm. Gabungan ini memberikan kuasa keseluruhan sehingga 537 PS dan ada pasaran lain yang melaporkan angka setinggi 598 PS dan tork 915 Nm. SUV ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat.

C9 PHEV juga dilengkapi dengan bateri jenis NMC (nikel mangan kobalt) berkapasiti 34.46 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sejauh 150 km mengikut kitaran WLTP. Dengan tangki bahan api berkapasiti 70 liter, jumlah jarak keseluruhan boleh mencecah hingga 1,100 km. Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 70 kW – mampu mengecas dari 30% hingga 80% dalam masa hanya 25 minit. Ia juga boleh dicas menggunakan pengecas AC sehingga 6.6 kW, yang mengambil masa sekitar lima jam setengah untuk cas penuh dari 30% ke 100%.

Harga rasmi masih belum diumumkan, namun memandangkan model Omoda C9 versi pacuan semua roda dijual pada harga RM188,800, versi PHEV dijangka akan ditawarkan pada harga bawah RM200,000 apabila dilancarkan kelak

The post Jaecoo J5, Omoda C9 PHEV dalam teaser Malaysia – pra tonton awam di Desa Park City 21-24 Ogos ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts