Jaecoo J5 yang bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi kini diperlihatkan sepenuhnya, sekali gus memberi gambaran jelas tentang apa yang bakal ditawarkan oleh SUV segmen-B ini. Diletakkan sebagai model paling mampu milik dalam barisan Jaecoo, J5 dijangka ditawarkan pada harga anggaran bawah RM120,000, menjadikannya pencabar baru dalam segmen yang semakin sengit.
Berbeza dengan pasaran Thailand dan Indonesia yang menerima versi elektrik, Jaecoo J5 untuk Malaysia akan menggunakan enjin petrol turbo 1.5 liter SQRE4T15C. Enjin ini menghasilkan kuasa 147 PS dan tork 210 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT serta pacuan roda hadapan.
Pecutan dari 0 hingga 100 km/j mengambil masa 10.2 saat dengan kelajuan maksimum 175 km/j. Berat kenderaan ini ialah 1,439 kg, manakala penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 7.5 liter bagi setiap 100 km, dengan jarak pemanduan sehingga 680 km menggunakan tangki bahan api berkapasiti 51 liter.
Dari segi dimensi, Jaecoo J5 berukuran 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, dengan jarak roda 2,620 mm. Ini menjadikannya sedikit lebih panjang dari segi jarak roda berbanding Honda HR-V dan Chery Tiggo Cross, serta mengatasi Proton X50 sekitar 20 mm. Jika dibandingkan dengan abangnya, Jaecoo J7 pula lebih besar dengan panjang 4,500 mm dan jarak roda 2,672 mm.
Bahagian luaran J5 menampilkan lampu utama LED projektor, rim 18 inci dengan tayar 235/55R18, serta pemegang pintu konvensional berbanding unit tersembunyi pada J7. Menariknya, SUV ini dilengkapi suspensi belakang jenis multi-link yang jarang ditemui dalam segmen ini, digandingkan dengan suspensi MacPherson di hadapan.
Ciri tambahan seperti tingkap hadapan double-glazed, mod pemanduan Eco, Normal dan Sport serta ketegaran badan 23,500 m/deg dijangka memberikan keselesaan yang baik untuk pemanduan jarak jauh.
Di dalam pula terdapat bumbung kaca panoramik, pengecas telefon tanpa wayar 50W, paparan meter digital bersaiz lapan inci dan skrin sentuh utama 13.2 inci beresolusi 2K. Sistem infotainmen menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, dilengkapi kamera 540 darjah serta fungsi karaoke binaan dalam.
Jaecoo turut mempromosikan J5 sebagai kenderaan mesra haiwan peliharaan, lengkap dengan pensijilan TUV. Selain balutan tempat duduk yang bersifat anti-bakteria dan tahan calar, terdapat aksesori tambahan seperti jaring, alas dan pembawa haiwan bagi memastikan keselesaan haiwan peliharaan semasa perjalanan.
Dari sudut keselamatan, Jaecoo J5 dilengkapi sistem bantuan pemandu Tahap 2+, termasuk fungsi Curve Speed Assistance yang membolehkan kenderaan memperlahankan kelajuan secara automatik di selekoh apabila kawalan jelajah adaptif diaktifkan. Ruang but menawarkan kapasiti 480 liter dan boleh ditingkatkan kepada 1,180 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
The post Jaecoo J5 – galeri model pameran di Malaysia, 1.5 turbo 147 PS/210 Nm, CVT, dijangka bawah RM120k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






































































































































