Jaecoo J5 yang dilancarkan pada Mac lalu, diposisikan di bawah kategori SUV segmen-B, bukan setakat menjadi pesaing kepada Proton X50 dan Honda HR-V, malah juga dengan Chery Tiggo Cross yang berkongsi platform sama dengannya.
Ditawarkan dengan satu varisan sahaja untuk pasaran Malaysia, Jaecoo J5 versi 2WD ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM108,000. Jaecoo Malaysia menawarkan perlindungan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km untuk setiap pembelian J5 ini, dan ia merangkumi bantuan tepi jalan.
Ia dipadankan dengan enjin petrol 1.5 liter empat silinder yang menghasilkan kuasa 147 PS dan tork maksima 210 Nm, angka yang sama dicatatkan pada enjin Chery Tiggo Cross 1.5T. Namun berbanding Tiggo Cross yang diberikan kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan, Jaecoo J5 ini dipadankan dengan transmisi CVT automatik bagi memacu roda hadapan. Gandingan ini membolehkan J5 pasaran Malaysia ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.2 saat dengan kelajuan maksima 175 km/j, dan mencapai penggunaan bahan api 7.5 liter untuk perjalanan 100 km menerusi kitaran ujian ketat WLTC.

Dengan ukuran 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,650 mm tinggi serta jarak roda 2,620 mm, J5 adalah 5 mm lebih pendek, 70 mm lebih lebar, 60 mm lebih tinggi dan 10 mm lebih panjang dari segi jarak roda berbanding Honda HR-V. Berbanding Proton X50 pula, J5 mempunyai panjang yang sama, 65 mm lebih lebar, 41 mm lebih tinggi dan 20 mm lebih panjang dari segi jarak roda.
Roda J5 menggunakan rim aloi 18-inci yang dipadankan dengan tayar Chaoyang Aggressor bersaiz 235/55R18. Sistem suspensi terdiri daripada topang MacPherson di bahagian hadapan dan suspensi bebas multi-link di bahagian belakang, manakala brek menggunakan cakera pada semua roda. Jaecoo mendakwa rangka badan (bodyshell) J5 mempunyai kekukuhan kilasan sebanyak 23,500 Nm per darjah.
Di bahagian dalaman, J5 mengambil elemen gaya minimalis daripada ‘abangnya’, J7, dan SUV segmen-B ini dilengkapi dengan skrin sentuh infotainmen berorientasikan potret bersaiz 13.2-inci, manakala pemandu mendapat paparan digital tujuh segmen bersaiz lapan-inci. Sambungan telefon pintar merangkumi Apple CarPlay dan Android Auto, serta satu pengecas peranti tanpa wayar Qi berkuasa 50 watt.

Kabin J5 juga menggunakan bahan mesra haiwan peliharaan yang diperakui oleh TÜV, di mana kemasan kulit sintetiknya bersifat anti-bakteria dan tahan calar, serta mempunyai tahap sebatian organik meruap (VOC) yang rendah. Ruang bagasi menawarkan kapasiti 480 liter, atau sehingga 1,284 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Kelengkapan standard yang diberikan termasuk tempat duduk hadapan dengan pelarasan kuasa serta fungsi pengudaraan, penyaman udara automatik dua-zon, pencahayaan ambien pelbagai warna, tingkap hadapan berkaca dua lapis akustik, bumbung kaca panoramik, sistem kamera 360 darjah dengan fungsi lut sinar, pintu belakang berkuasa dan lapan pembesar suara.
Bagi sistem bantuan pemanduan, J5 dilengkapi ciri pemanduan separa autonomi Tahap 2 seperti bantuan kelajuan selekoh, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan gerak, serta bantuan pemusatan lorong, brek kecemasan autonomi, bantuan stereng mengelak, pemantauan titik buta dengan pencegahan pelanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, serta amaran pembukaan pintu.
The post Jaecoo J5 di Malaysia – SUV segmen-B dengan ADAS Tahap 2, upholstery mesra-haiwan peliharaan; RM108k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





































































































































































