Sempena perayaan Krismas yang bakal disambut luasa, AFA Prime Berhad (sebelum ini dikenali sebagai ANIH BERHAD) selaku pengendali Lebuhraya KL-Karak (KLK) & Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) telah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk rujukan para pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit.
TTA berkenaan adalah bagi perjalanan antara 25 Disember dan 28 Disember 2025, memberikan peluang kepada pengguna untuk merancang perjalanan dengan baik bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa menuju kampung halaman atau destinasi pilihan.
Bagi yang datang dari arah KL dan Selangor, dan memulakan perjalanan 25 Disember, anda disaran mula bergerak antara jam 12 tengahari hingga 4 petang atau 8 malam hingga 11 malam jika ke Pahang, antara 9 pagi hingga 12 tengahari atau 8 malam hingga 11 malam bagi yang ke Terengganu dan yang menuju ke Kelantan, dicadangkan mula bergerak antara 6 pagi hingga 9 pagi atau selepas 5 petang hingga 8 malam.

Untuk perjalanan kembali ke KL dan Selangor pada antara 28 Disember pula, anda disarankan memulakan perjalanan antara jam 7 pagi hingga 10 pagi atau selepas jam 7 petang hingga 11 malam jika dari Pahang. Bagi yang datang dari arah Terengganu, disarankan mula bergerak selepas 10 pagi hingga 1 tengahari atau selepas 8 malam hingga 10 malam. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan mula bergerak selepas 4 petang hingga 8 malam atau selepas 9 malam hingga 12 tengah malam.
Waktu perjalanan bebas pula dari mana-mana destinasi adalah antara 12 tengah malam sehingga 6 pagi. Untuk bas ekspres pula, untuk destinasi ke Pantai Timur, disarankan memasuki Plaza Tol Gombak antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengahari atau 9.30 malam hingga 12 tengahmalam. AFA memaklumkan, kenderaan ringan tidak digalakkan memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu tersebut.
Sila periksa kondisi kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan. Disarankan agar anda selenggara kenderaan terlebih dahulu bagi memastikan ia berada dalam keadaan yang baik. Pastikan kad tambah nilai Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi. Dapatkan rehat yang mencukupi sebelum memandu dan sentiasa amalkan pemanduan selamat. Moga anda selamat sampai ke destinasi yang ditujui.
The post Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Krismas – 25 & 28 Dis 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















