Isuzu Malaysia telah mengembangkan rangkaian pengedarnya dengan pelancaran sebuah pusat 4S baharu yang terletak di Balakong, Selangor. Dioperasikan oleh SV Prestige Auto, ia merupakan pusat 4S ketiga di Lembah Klang yang dikendalikan oleh pengedar bertauliah tersebut.
Menggunakan identiti korporat Isuzu yang terbaharu, pusat 4S ini menampilkan ruang pameran yang boleh menempatkan hingga dua unit trak pikap serta simulator realiti maya bagi mempamerkan keupayaan D-Max. Sementara itu, bahagian selepas jualan di fasiliti ini berkeupayaaan mengendalikan enam kenderaan dalam satu masa dan dilengkapi mesin penjajaran tayar serta bilik semburan cat bersaiz penuh.
Sementara itu, pusat body & paint juga bakal beroperasi tidak lama lagi untuk melakukan kerja-kerja baikpulih kenderaan akibat kemalangan besar, dengan pengiktirafan telah pun diperoleh daripada syarikat insurans automotif utama di sini.

“Pembukaan pusat 4S Isuzu yang baharu ini dengan kemudahan moden dan bersepadu mencerminkan usaha berterusan kami untuk memastikan pemilikan kenderaan Isuzu kekal sebagai satu pengalaman yang benar-benar positif. Dengan menawarkan rangkaian lengkap perkhidmatan penjagaan kenderaan di bawah satu bumbung, pelanggan kami boleh menikmati keyakinan bahawa kenderaan Isuzu mereka menerima penjagaan berkualiti yang menyeluruh dan mudah,” kata Tomoyuki Yamaguchi, CEO Isuzu Malaysia.
Ryan Tham, selaku Pengarah Urusan SV Prestige Aut pula berkata, “Dengan bimbingan Isuzu Malaysia dan sokongan para pelanggan kami, kami telah berjaya menyatukan semua operasi kami di sini dengan sebuah pusat 4S sehenti. Saya berharap dengan kemudahan baharu ini, pelanggan kami akan menikmati destinasi yang lebih selesa dan kondusif untuk semua keperluan Isuzu mereka.”
Pusat 4S Isuzu yang baharu ini terletak di Lot 1917-B, Jalan KPB 7, Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong. Bersama dengan pusat 3S Isuzu di Puchong, bilik pameran SV Prestige Auto dibuka setiap hari manakala pusat servis dibuka dari hari Isnin hingga Sabtu.
The post Isuzu Malaysia lancar pusat 4S baharu di Balakong appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















