Isuzu Malaysia bakal melancarkan trak pikap D-Max 2026 dengan enjin turbodiesel baharu 2.2 liter Ddi MaxForce, dan pendaftaran minat (ROI) untuknya sudahpun dibuka. Sama seperti pasaran Thailand, penawaran enjin baharu RZ4F-TC 2.2L Ddi MaxForce ini akan menggantikan model-model yang menggunakan enjin turbodiesel empat-silinder RZ4E-TC 1.9 liter Ddi Bluepower.
Menurut maklumat yang disiarkan menerusi laman ROI tersebut, enjin baharu berkenaan patuh regulasi Euro-5 dan menghasilkan kuasa 163 PS dan tork maksima 400 Nm, sama seperti angka kuasa yang ditawarkan di pasaran Thailand; lebih berkuasa dari enjin 1.9L sebelumnya yang hanya menghasilkan 150 PS/350 Nm.
Enjin 2.2L MaxForce ini sebenarnya masih diasaskan dari enjin 1.9L Ddi Bluepower, namun kapasitinya ditingkatkan dari 1,898 cc kepada 2,164 cc menerusi pemadanan liner silinder dan omboh baharu (83mmx100 mm). Selain itu enjin ini juga diberikan rod penghubung dan aci engkol dan kepala silinder baharu.
Omboh baharu berkenaan bukan sahaja lebih besar, malah ia turut disalut dengan bahan yang menjadikan daya geserannya jauh lebih rendah serta direka bagi menghasilkan pusaran lebih tinggi untuk melaras aliran udara yang masuk ke kebuk pembakaran, seterusnya memberikan pembakaran yang lebih berkesan.
Enjin 2.2L ini juga menerima penyuntik bahan api dengan tekanan lebih tinggi iaitu 250 MPa berbanding 180 MPa pada versi 1.9L. Pengecas turbo dengan geometri bervariasi (E-VGS) juga dikemaskini menampilkan aliran masuk dan bilah turbin lebih besar, bersama injap wastegate yang dikawal oleh kotak komputer enjin berbanding enjin 1.9L yang masih menggunakan tekanan spring konvensional.
Akhir sekali enjin baharu ini turut diperkemas dengan sistem pelinciran lebih baik yang bukan sahaja meningkatkan pretasi, malah turut memberikan ketahanan lebih tinggi.
Di Thailand enjin baharu ini juga datang dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan baharu bagi menggantikan kotak gear automatik enam-kelajuan pada enjin 1.9L. Manakala untuk versi manual ia masih diberikan kotak gear enam-kelajuan.
Dengan penawaran enjin baharu ini, senarai varian untuk D-Max 2026 adalah seperti berikut:
- X-Terrain – 3.0L AT
- Premium – 2.2L AT dan 3.0L AT
- Auto Plus – 2.2L AT
- Standard – 2.2L AT dan 2.2L MT
- Single Cab – 2.2L AT dan 2.2L MT
Jadi berbanding barisan varian D-Max sebelum ini, ada dua varian telah digugurkan iaitu V-Cross dan Low Ride. Juga berdasarkan apa yang ditawarkan di Thailand, model kemaskini terbaharu ini tidak akan melibatkan perubahan pada rupa dan ia akan terus menggunakan penggayaan dari D-Max facelift 2023.
GALERI: Isuzu D-Max Hi-Lander 2.2 Ddi MaxForce M A/T di BIMS 2025
The post Isuzu D-Max dengan enjin 2.2L Ddi MaxForce akan dilancar di Malaysia, ganti enjin 1.9L; ROI dibuka appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

































