Mana-mana pengguna jalan raya yang telah disenaraihitamkan kerana mempunyai saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), boleh membayar saman terbabit menerusi platform aplikasi MyJPJ bermula 18 Mac 2026.
Datuk Aedy Fadly Ramli, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, status senarai hitam akan dinyahaktifkan secara automatik dalam sistem JPJ sebaik sahaja pembayaran berjaya dilakukan, laporan Bernama.
“Orang ramai boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ, sekali gus menjimatkan masa dan mempercepatkan urusan berkaitan.
“Walau bagaimana pun, tiada diskaun akan diberikan untuk saman lama, kecuali saman AwAS yang diterima tahun ini, yang ditawarkan diskaun antara RM150, RM200 dan RM300 bergantung pada tempoh bayaran,” katanya dalam sidang media Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA), di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Beliau menambah bahawa pembayaran saman trafik melalui aplikasi MyJPJ tidak melibatkan Notis Saman (114) serta saman yang tidak boleh dikompaun, kerana kes tersebut perlu diselesaikan di mahkamah. Antara kesalahan trafik yang tidak boleh dikompaun ialah memandu tanpa insurans atau lesen, atau mempamerkan cukai jalan palsu.
Katanya lagi, individu yang menerima “notis hadir” masih perlu hadir ke pejabat JPJ yang berkaitan untuk melengkapkan siasatan terhadap kesalahan trafik yang dilakukan. “Jika mereka tidak hadir, status mereka akan disenaraihitamkan dan mereka tetap perlu datang ke JPJ untuk menyelesaikannya,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan bahawa mulai 1 Januari tahun ini, kadar saman trafik akan diseragamkan antara agensi, dan kempen diskaun berkala tidak lagi diadakan. Sebaliknya, pembayaran awal saman akan diberi ganjaran, manakala pembayaran lewat akan dikenakan jumlah penuh.
The post Individu miliki saman AwAS yang disenarai hitam boleh bayar menerusi aplikasi MyJPJ mulai 18 Mac appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















