Semalam, Proton eMas menaikkan satu hantaran iklan teaser di laman Facebook rasmi yang jelas menunjukkan eMas 7 yang ketika ini sedang mendahului jualan EV di Malaysia sejak Disember tahun lalu. Jadi, iklan teaser ini untuk apa sebenarnya: adakah untuk memperkenalkan unit pemasangan tempatan (CKD)? Dan adakah ia akan tiba dalam masa terdekat?
Tetapi, macam terlalu awal untuk hal itu berlaku, kerana Proton baru Februari lalu mengumumkan pihaknya telah memulakan pembinaan kilang EV-nya di Tanjong Malim, dan eMas 7 CKD hanya akan diperkenalkan pada hujung tahun nanti.
Satu kemungkinan lain adalah kehadiran fungsi Apple CarPlay/Android Auto, yang tidak disertakan ketika pelancarannya. Ini mungkin lebih masuk akal, memandangkan kemaskini over-the-air (OTA) untuk ini akan tiba pada Julai. Ketika ini, hanya X70 facelift yang mempunyai ciri AACP ini.
Atau, adakah ini untuk versi edisi khas? Tapi, sama juga, masih terlalu awal untuk itu, kerana eMas 7 masih dikira baru dalam pasaran, dan masih menerima permintaan yang menggalakkan. Melainkan jika ada kemaskini spesifikasi yang ingin ditambah, mungkin sebagai respon kepada penawaran BYD Atto 3 Ultra yang ditambah kelengkapan dan diturunkan harga sebelum ini? Apa pun, kita nantikan Rabu ini untuk pendedahannya.
The post Iklan <em>teaser</em> Proton eMas 7 — dikemaskini, AACP? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.