Selepas dipertontonkan sekali lagi minggu lalu — kali ini dengan harga anggaran — iCaur V23 kini membuat penampilan di acara Auto Car Expo (ACE) 2025 anjuran paultan.org, yang bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) dari 8-9 November 2025.
Bakal dilancarkan pada suku keempat tahun ini, V23 untuk pasaran tempatan akan ditawarkan dalam dua varian utama — 2WD dan iWD — dengan harga anggaran masing-masing antara RM145k hingga RM155k.
Varian V23 2WD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang menghasilkan 136 PS (100 kW) dan 180 Nm, memacu roda belakang dengan pecutan 0–100 km/j dalam masa 11 saat serta kelajuan maksimum 140 km/j. Ia menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) 59.93 kWh dengan jarak pemanduan sekitar 360 km (NEDC). Pengecasan pantas DC disokong sehingga 85 kW, manakala pengecasan AC menggunakan output 6.6 kW.

Bagi varian V23 iWD, terdapat dua motor elektrik — satu di hadapan (75 PS, 112 Nm) dan satu di belakang (136 PS, 180 Nm) — menjadikan jumlah keseluruhan 211 PS (155 kW) dan 292 Nm dengan sistem pacuan semua roda (AWD). Pecutan 0–100 km/j dicapai dalam hanya 7.5 saat, dengan kelajuan maksimum 140 km/j. Varian ini menggunakan bateri NMC 81.76 kWh, mampu mencapai jarak 430 km (NEDC), serta menyokong pengecasan pantas DC 104 kW dan AC 6.6 kW.
iCaur V23 mempunyai ukuran dimensi 4,220 mm panjang, 1,915 mm lebar dan 1,845 mm tinggi. Reka bentuk luarannya pula jelas mengambil inspirasi daripada SUV ikonik seperti Toyota Land Cruiser, Mercedes-Benz G-Class dan Land Rover Defender. Ia juga direka untuk kegunaan lasak dengan jarak kelegaan tanah 200 mm, kemampuan meredah air hingga 600 mm serta sudut mendaki 42 darjah dan sudut mendongak 40 darjah.

Ruang kabinnya mengekalkan konsep utilitarian moden dengan papan pemuka tegak yang menempatkan skrin sentuh infotainmen 15.4-inci di tengah, diapit oleh corong pendingin hawa segi empat dan butang kawalan besar yang sesuai untuk penggunaan luar jalan.
Di hadapan pemandu, terdapat paparan digital 8.88 inci berbentuk bulat serta stereng empat jejari dengan kawalan sesentuh. Perincian seperti ukiran imej V23 sedang meredah laluan off-road dan plak bertulis “Born to Play” menambah karakter pada ruang kabin.
Ruang simpanan juga banyak, termasuk poket jejaring pada pintu, konsol tengah dua tingkat boleh ubah serta ruang kargo yang boleh diperluas dari 234 liter hingga 1,366 liter, termasuk 80 liter ruang bawah lantai.
Dari segi kelengkapan, V23 hadir dengan sistem Vehicle-to-Load (V2L) berkuasa 3.3 kW, pilihan rim 19-inci (2WD) atau 21-inci (iWD), serta kamera pandangan 540-darjah “transparent chassis”. Ia turut dilengkapi sistem bantuan pemandu Tahap 2 (Level 2 ADAS) seperti kawalan jelajah adaptif, amaran keluar lorong dan brek kecemasan automatik.
The post iCaur V23 tampil di ACE 2025 — harga anggaran dari RM145k-RM155k, dua varian, dilancarkan Q4 nanti appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
































