Dua buah model iCaur V23 yang berdaftar telah dilihat ketika sedang dicaj menggunakan kemudahan pengecasan EV awam. Ini sekaligus memberi bayangan bahawa model berkenaan akan dilancarkan di sini tidak lama lagi.
iCaur V23 pernah dipertontonkan di Malaysia pada Mei tahun ini, bersama dengan model 03 dan 03T. iCaur 03 juga telah dilancarkan di sini bulan lalu. Di rantau ini, V23 sudah dilancarkan di Thailand, dan dijual dengan harga bermula 699,900 baht (RM90,900).
Sebagai perbanding dengan 03, V23 mempunyai ukuran 4,220 mm panjang, 1,915 mm lebar dan 1,845 mm tinggi, dengan jarak roda 2,735 mm. Ini menjadikannya 186 mm lebih pendek, 5 mm lebih lebar dan 130 mm lebih tinggi berbanding 03, dengan jarak roda yang 20 mm lebih panjang.
Di Thailand, V23 ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang dan pacuan semua roda. Versi RWD menggunakan motor tunggal yang menjana 136 PS/180 Nm, sementara versi 4WD memanfaatkan gandingan dua motror yang menghasilkan sebanyak 211 PS/292 Nm. Versi RWD boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11 saat, sementara versi AWD dalam 7.5 saat. Kedua-duanya dihadkan laju maksimumnya kepada 140 km/j.
Untuk bateri RWD, ia menggunakan unit lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti 59.93 kWj ditawarkan di Thailand, didakwa mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 360 km NEDC (sekitar 300 km WLTP). Bagi varian AWD, bateri lebih besar 81.76 kWj dari jenis nickel manganese cobalt (NMC) digunakan, memberi jarak perjalanan yang didakwa sejauh 430 km NEDC, atau 360 km mengikut kitaran WLTP.
Untuk RWD, ia boleh dicas sehingga 85 kW DC, sementara untuk AWD sehingga 104 kW. Pengecasan AC pula disokong oleh kapasiti sehingga 6.6 kW, V23 ini datang dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti 3.3 kW.
Harga V23 untuk pasaran Malaysia masih belum ada petunjuk. Jika merujuk kepada harga di pasaran asalnya di China, ia mungkin akan dipasarkan dengan harga yang tidak jauh dari model 03, yang diperkenalkan bermula dari RM120k hingga RM130k.
The post iCaur V23 atas jalan di M’sia — dua motor, jarak 360 km; SUV kompak ala Land Cruiser klasik bakal tiba? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.