Selepas pertama kali dipertontonkan di Malaysia pada Mei lalu bagi versi pemanduan sebelah kiri (LHD), disusuli dengan beberapa siri pra-tonton untuk versi pemanduan sebelah kanan (RHD) pula, akhirnya SUV tahan lasak, iCaur V23 dilancarkan untuk pasaran tempatan. Merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari China, V23 di Malaysia ditawarkan dalam dua varian iaitu 2WD yang berharga dari RM119,800 dan bermula RM132,800 untuk iWD, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans.
Bagi varian V23 2WD, ia menerima motor elektrik tunggal yang mampu menghamburkan kuasa 136 PS (100 kW) dan 180 Nm, memacu roda belakang, mempunyai lima mod pemanduan (ECO, Comfort, Sport, Individual, Slippery), pecutan 0–100 km/j dalam masa 11 saat serta kelajuan maksimum 140 km/j. Ia menggunakan bateri lithium ion phosphate (LFP) 59.93 kWh dengan jarak gerak sekitar 360 km (NEDC). Pengecasan pantas DC disokong sehingga 85 kW, dan boleh juga dicas dengan unit AC berkapasiti 6.6 kW.
Manakala untuk varian V23 iWD, ia diberikan dua motor elektrik iaitu satu di hadapan (75 PS, 112 Nm) dan satu di belakang (136 PS, 180 Nm), sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kuasa cecah 211 PS (155 kW) dan 292 Nm. Ia juga digandingkan dengan sistem pacuan semua roda (AWD), tambahan satu lagi mod pemanduan (Off-Road) dan mampu memecut dari 0–100 km/j dengan hanya 7.5 saat, dan kelajuan maksimum mampu mencecah 140 km/j.

Untuk V23 iWD pula, ia menggunakan bateri litium tiga logam Nikel-Mangan-Kobalt (NMC) 81.76 kWh, mampu mencapai jarak gerak hingga 430 km (NEDC), serta menyokong pengecasan pantas DC 104 kW dan AC 6.6 kW. Versi iWD juga disokong oleh Motor Tak Segerak Magnet Kekal yang mantap pada gandar depan, memberikan cengkaman tambahan apabila keadaan memerlukan.
Untuk saiznya, V23 sedikit kecil berbanding iCaur 03, berukuran panjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm dan ketinggian 1,845 mm. Walau bagaimanapun, jarak roda V23 lebih panjang iaitu 2,735 mm berbanding 2,715 mm pada 03, sekaligus memberikan lebih ruang dalaman serta keselesaan tambahan kepada penumpang.
Diangkat sebagai SUV kegunaan lasak elektrik sepenuhnya yang pertama di Malaysia, kehadiran V23 dalam dunia automotif bukan setakat gaya sahaja, sebaliknya ia juga didakwa mampu beraksi dalam laluan lasak dan off-road, apatah lagi ia direka dengan jarak kelegaan tanah 200 mm, kemampuan meredah air hingga 600 mm serta sudut mendaki 42 darjah dan sudut mendongak 40 darjah.
Untuk asas strukturnya, V23 dibina dengan rangka seakan sangkar yang terdiri daripada 70% keluli berkekuatan tinggi. Ketegaran ini dipadankan dengan Sistem Pengurusan Bateri (BMS) yang menyediakan perlindungan voltan tinggi serta kawalan suhu melalui penyejukan cecair yang memastikan bateri kekal selamat dalam semua keadaan. Gabungan komponen ini memastikan perlindungan yang boleh dipercayai dalam penggunaan harian mahupun situasi yang lebih mencabar.
Bagi rekabentuk luarannya, ia bagai mempunyai bayangan dari SUV retro seperti Toyota Land Cruiser, Mercedes-Benz G-Class dan Land Rover Defender. Walau bagaimana pun imej lasak dan ranggi yang ditampilkan ini cukup menyerlahkan termasuk pada bentuk badannya, lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang, lengkung roda besar, lampu belakang LED, tempat pemijak sisi serta pintu belakang jenis bukaan sisi lengkap dengan kotak utiliti. Ia juga diberikan pilihan rim 19-inci ya g dibaluti tayar tayar 255/55 R19 untuk 2WD dan 21-inci dengan tauyar 265/45 R21 bagi iWD.
Senada dengan luarannya, kabin V23 kelihatan ringkas dan utilitarian tetapi dengan sentuhan moden. Papan pemukanya yang tegak menempatkan skrin sentuh infotainmen besar HD Quad 15.4-inci yang dipacu oleh pemproses Qualcomm Snapdragon 8155 yang terletak di bahagian tengah, diapit oleh corong penyaman udara segi empat serta panel dengan tombol dan suis yang mudah dikendalikan.

Ciri lain termasuk kemasan lembut tahan lama berwarna hitam, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kad kunci pintar NFC, corong udara bertingkat ditempatkan di sudut papan pemuka, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, sistem audio dengan tujuh pembesar suara, stereng empat jejari yang mempunyai butang tanpa label serta perincian seperti ukiran imej V23 sedang meredah laluan off-road dan plak bertulis “Born to Play” menambah karakter pada ruang kabin.
Ruang simpanan juga ada banyak, termasuk poket jejaring pada pintu, konsol tengah dua tingkat boleh ubah serta ruang kargo yang boleh diperluas dari 234 liter hingga 744 liter apabila tempat duduk barisan kedua dilipat sepenuhnya ke bawah.
Untuk keselamatan dan bantuan pemandu, V23 dilengkapi sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2 merangkumi Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Maklumat Terlepas Keluar (DAI), Amaran Perlanggaran Depan (FCW), Amaran Pertukaran Lorong (LCW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
Amaran Lalu Lintas Silang Belakang (RCTA), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Bantuan Mengelakkan Kesesakan Lalu Lintas (TJA), Pengesanan Titik Buta (BSD) dan Amaran Pembukaan Pintu (DOW).
Selain itu, ia juga dilengkapi sistem Vehicle-to-Load (V2L) berkuasa 3.3 kW, Monitor Pandangan Menyeluruh (AVM) 540-darjah, Sistem Pengawasan Tekanan Tayar (TPMS), dan pembaca NFC yang diletakkan di dapra sisi pemandu untuk capaian pantas.
V23 diberikan pilihan warna yang merangkumi Off Road Orange, Khaki White, Army Green, Slate Silver , dan Carbon Black, yang semuanya dipadankan dengan hias dalaman kulit hitam.
Sekali lagi, V23 di Malaysia ditetapkan pada harga dari atas jalan RM119,800 untuk 2WD dan iWD pula berharga dari RM132,800, masing-masing tanpa insurans dan turut didatangkan dengan waranti kenderaan tujuh-tahun atau 150,000 km, waranti bateri dan unit pacuan lapan-tahun atau 160,000 km, dan jaminan penggantian bateri sekiranya tahap kesihatan bateri jatuh di bawah 70% dalam tempoh waranti.
Untuk 1,000 pendaftaran pertama, iCaur Malaysia memperkenalkan pakej pembeli awal (early bird) yang akan diberikan pengecas rumah Wallbox 7kW percuma bernilai RM3,400. Selain itu, pakej ini juga termasuk unit kluster instrumen sokongan 6.86-inci yang bernilai RM1,000, waranti lanjutan untuk bateri, motor elektrik dan unit kawalan kuasa yang meliputi tempoh sehingga sepuluh tahun atau 200,000km.
iCaur V23 2WD 2026
iCaur V23 iWD 2026
The post iCaur V23 2026 dilancar di Malaysia – hingga 211 PS, 430km NEDC; 2WD dari RM120k, iWD dari RM133k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




































































































