Hyundai telah bekerjasama dengan Pokemon Korea bagi memperkenalkan pakej paparan tema digital watak anime dari Jepun berkenaan untuk model-model terkininya sempena ulangtahun ke-30 Pokemon yang akan disambut pada Jumaat ini iaitu pada 27 Februari 2026.
Pelanggan-pelanggan yang berminat dengan pakej ini sudahpun boleh membelinya sejak 23 Februari lalu menerusi Bluelink Store, dan akan menerimanya menerusi kemaskini perisian over-the-air (OTA). Antara model yang boleh menerima kemaskini ini termasuk Palisade, Nexo, Ioniq 9, Ioniq 6, Sonata dan Staria.
Dua tema ditawarkan iaitu ‘Pokémon Pikachu Quick Attack’ dan ‘Pokémon Ditto World Theme’, di mana kedua-duanya akan diadaptasikan pada sistem infotainmen Navigation Cockpit (ccNC) Hyundai. Apabila diaktifkan, paparan instrumen dan juga visual pada skrin infotainmen akan menampilkan grafik karekter, sistem navigasi bertema dan juga ‘persembahan’ animasi istimewa ketika kereta mula dihidupkan dan dimatikan.
“Kerjasama dengan Pokémon Korea ini mencerminkan keperluan pelanggan yang ingin mendekorasi dan meluahkan gaya mereka tersendiri melalui automobil masing-masing sebagai alat pengangkutan. Selaras dengan era kereta terhubung, kami akan terus meningkatkan nilai pengalaman yang dapat dirasai oleh pelanggan di dalam kenderaan mereka,” kata Hyundai dalam kenyataan yang dikeluarkan.
The post Hyundai tawar pakej tema paparan Pokemon untuk sistem infotainmen menerusi OTA di Korea Selatan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


















