Untuk yang mencari MPV segmen-B, ada beberapa model yang boleh anda beli baru dalam pasaran buat masa sekarang, antaranya kembar Perodua Alza dan Toyota Veloz serta saingan dari Mitsubishi iaitu Xpander. Namun tak lama lagi, ada satu lagi model yang bakal dilancarkan di Malaysia iaitu Hyundai Stargazer.
Perkara ini telah disahkan oleh Hyundai Motors Malaysia (HMY) ketika berlangsungnya majlis makan malam sambutan Tahun Baru Cina syarikat tersebut malam ini. Menurut HMY, Stargazer bakal dilancarkan ke pasaran tempatan pada suku ke-empat tahun ini. Namun tiada perincian lain seperti spesifikasi mahupun anggaran harga yang disebut setakat ini.
Hyundai Stargazer membuat kemunculan sulung globalnya pada 2022, dengan diperkenalkan di pasaran Indonesia untuk berhadapan dengan model-model seperti Mitsubishi Xpander, Honda BR-V dan juga Toyota Veloz/Daihatsu Xenia. Ia merupakan MPV tujuh-tempat duduk yang dihasilkan dengan dimensi 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,780 mm.
Seperti pesaing-pesaingnya yang lain, Stargazer digerakkan dengan enjin 1.5 liter Smartstream NA empat-silinder MPI yang menghasilkan kuasa 115 PS dan tork maksima 143.8 Nm, digandingkan dengan transmisi IVT dan memacu hanya roda hadapan.
Di Indonesia Stargazer telahpun diperkenalkan dalam versi facelift pada Julai tahun lalu, dikenali sebagai Stargazer Cartenz. Model facelift ini menampilkan perubahan rupa luaran yang ketara, terutamanya bahagian hadapan dengan bonet lebih panjang, lampu utama yang diletakkan lebih tinggi serta lampu nyalaan siang berbentuk ‘H’. Gril hadapan kini lebih besar dengan corak segi empat, manakala bahagian apron bawah tampil lebih agresif. Di belakang, lampu turut menerima sentuhan rekaan serupa.
Selain Hyundai Stargazer Cartenz standard, MPV ini turut ditawarkan dalam versi yang lebih lasak seperti SUV dikenali sebagai Stargazer Cartenz X di pasaran negara tersebut. Ia dijual pada harga 269.9 juta rupiah (sekitar RM70,000) sehingga 350.4 juta rupiah (RM91,000), manakala Cartenz X dijual antara 361.9 juta rupiah (RM94,000) hingga 391.9 juta rupiah (RM101,000).
GALERI: Hyundai Stargazer Cartenz di GIIAS 2025
GALERI: Hyundai Stargazer Cartenz X di GIIAS 2025
The post Hyundai Stargazer akan dilancar di Malaysia suku ke-4 2026 – MPV segmen-B saingan Alza, Veloz, Xpander appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















































