Hyundai Stargazer facelift 2026 kini dilancarkan di Thailand selepas membuat penampilan awal di Indonesia pada Julai tahun lalu. MPV segmen B berkenaan ditawarkan dalam dua varian, Trend dan Smart, dengan harga bermula 719,000 baht (RM87,626) hingga 799,000 baht (RM97,376). Model tiga baris tempat duduk ini juga disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia pada suku keempat tahun ini.
Dari segi janaan kuasa, Stargazer facelift menggunakan enjin petrol 1.5 liter Smartstream MPI tanpa turbo yang menghasilkan 113 hp pada 6,300 rpm dan 144 Nm pada 4,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda melalui transmisi pintar IVT (Intelligent Variable Transmission), yang menggunakan rantai berbanding tali sawat seperti CVT konvensional.
Untuk dimensi, Stargazer berukuran 4,575 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,695 mm tinggi dengan jarak roda 2,780 mm. Saiz ini menjadikannya lebih besar berbanding Perodua Alza, dengan 150 mm lebih panjang dan 50 mm lebih lebar. Ia menggunakan rim 16 inci dengan tayar 205/55R16, brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang. Berat kenderaan adalah sekitar 1,280 kg dengan kapasiti tangki bahan api 40 liter.

Dari segi luaran, ia lengkap dengan lampu utama halogen automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu isyarat LED pada cermin sisi boleh laras dan lipat kuasa serta lampu belakang LED. Rekaan keseluruhan mengekalkan identiti moden dengan sentuhan praktikal untuk kegunaan keluarga.
Ruang kargo juga fleksibel, dengan kapasiti 185 liter apabila semua tempat duduk digunakan. Apabila barisan ketiga dilipat, ruang meningkat kepada 585 liter, manakala kapasiti maksimum mencecah 1,892 liter.
Di dalam kabin, sistem infotainmen menggunakan skrin sentuh lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Pemandu turut mendapat paparan digital, manakala sambungan peranti merangkumi dua soket 12 volt untuk kedua-dua varian. Dari segi port USB-C, varian Trend menyediakan satu port, sementara varian Smart menawarkan tiga port.

Konfigurasi tempat duduk barisan kedua menggunakan dua kerusi kapten, lengkap dengan meja lipat untuk penumpang sebelah kiri. Ciri kemudahan lain termasuk kemasukan tanpa kunci, brek parkir elektrik, corong pendingin hawa belakang dengan kawalan sendiri serta empat mod pemanduan.
Bagi aspek keselamatan, varian Smart dilengkapi pakej bantuan pemandu yang lebih menyeluruh. Ini termasuk kawalan jelajah pintar dengan fungsi henti dan gerak, bantuan pengelakan pelanggaran hadapan dengan sokongan simpang, bantuan kekal lorong, amaran titik buta, bantuan elak pelanggaran lintasan belakang, amaran keluar selamat, bantuan lampu tinggi, amaran keletihan pemandu, amaran kenderaan hadapan bergerak serta amaran penumpang belakang.
Pilihan warna yang ditawarkan di Thailand termasuk Midnight Black Pearl, Titan Grey Metallic dan Creamy White Pearl. Dengan harga antara 719,000 hingga 799,000 baht, Hyundai Stargazer facelift 2026 bakal bersaing dengan model seperti Toyota Veloz dan Mitsubishi Xpander apabila tiba di pasaran Malaysia kelak
The post Hyundai Stargazer 2026 di Bangkok — MPV 1.5L segmen B, dari RM88k di Thailand; tiba di Malaysia Q4 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





































