Hyundai bersedia untuk memperkenalkan satu lagi model berprestasi tinggi dalam barisan kenderaan elektriknya, iaitu Hyundai Ioniq 6 N. Selepas penantian agak lama sejak kemunculan Ioniq 5 N dua tahun lalu, model ini akan membuat penampilan rasmi di Goodwood Festival of Speed tidak lama lagi.

Gambar teaser yang didedahkan memperlihatkan bahagian belakang Ioniq 6 N yang tampil dengan rekaan lebih agresif berbanding versi standard. Bampar belakang diberikan kemasan hitam sepenuhnya dengan dua elemen berbentuk ‘taring’ di kedua-dua penjuru, jalur merah pada bahagian bawah menambah sentuhan sporty, manakala fender dilebarkan dengan lebih kemas. Tidak ketinggalan, sayap belakang jenis swan-neck menyerlahkan karakter prestasi model ini.

Hyundai turut mendedahkan beberapa maklumat teknikal utama. Berbanding Ioniq 5 N, Ioniq 6 N dijangka lebih menyerlah dari segi pengendalian kerana ia mempunyai kedudukan lebih rendah dan lebih ringan. Suspensi dipertingkat dengan reka bentuk geometri baharu yang menurunkan pusat graviti dan meningkatkan sudut caster, sekaligus memberi rasa stereng lebih tepat, maklum balas lebih baik serta penstabilan semula secara automatik yang lebih responsif.

Hyundai Ioniq 6 N sekali lagi ditunjuk dalam teaser – suspensi dan mod drift ditala semula, muncul 10 Julai

Sistem peredam adaptif juga telah ditala semula untuk memberikan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian yang optimum. Menariknya, Hyundai kini membenarkan ciri N e-shift – simulasi penukaran gear – digunakan dalam semua mod pemanduan, termasuk mod Eco dan N Drift Optimiser. Nisbah gear maya turut dipendekkan untuk memberikan pecutan lebih agresif, manakala lampu suasana digunakan sebagai penunjuk waktu menukar gear.

Mod N Drift Optimiser kini hadir dengan lebih banyak pilihan tetapan, membolehkan pemandu menyesuaikan tahap kawalan mengikut kemahiran drift masing-masing. Menurut laporan pandu uji awal di Amerika Syarikat, model prototaip memiliki fender 30 mm lebih lebar dan jarak roda lebih panjang 15 mm, yang turut menyumbang kepada sudut caster lebih besar.

Ioniq 6 N dipadankan dengan rim aloi 20 inci bersama tayar Pirelli P Zero Elect bersaiz 275/35 R20. Sistem bunyi luaran juga dipertingkat bagi membolehkan orang ramai mendengar bunyi enjin sintetik N Active Sound+ dengan lebih jelas. N Drift Optimiser kini menawarkan tiga tahap permulaan drift dan sepuluh tahap sudut gelinciran.

Dari aspek kuasa, Ioniq 6 N dijangka mengekalkan trenkuasa dari Ioniq 5 N – dua motor elektrik yang menghasilkan 609 PS (448 kW) dan 740 Nm tork, atau 650 PS (478 kW) dan 770 Nm dengan fungsi N Grin Boost selama 10 saat. Ia menggunakan bateri 84 kWj jenis NMC (nickel manganese cobalt).

Namun, versi sedan ini bakal menerima penambahbaikan dari segi penyejukan bateri dan motor yang membolehkan prestasi lebih konsisten di litar serta kemungkinan output lebih tinggi. Dengan binaan lebih ringan dan reka bentuk aerodinamik yang lebih baik berbanding SUV, Ioniq 6 N dijangka menawarkan jarak pemanduan lebih jauh daripada Ioniq 5 N yang mencatat 448 km.

Jenama Hyundai kini kembali menjadi perhatian di Malaysia selepas penubuhan syarikat utama baru, Hyundai Motor Malaysia (HMY), yang mengambil alih daripada Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM). Namun begitu, kehadiran Ioniq 6 N di pasaran tempatan masih belum dapat dipastikan memandangkan EV masih belum menjadi fokus utama dalam pelan produk HMY buat masa ini.

The post Hyundai Ioniq 6 N sekali lagi ditunjuk dalam teaser – suspensi dan mod drift ditala semula, muncul 10 Julai appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts