Hyundai dilapor sedang membangunkan sebuah kenderaan elektrik (EV) kompak dan mampu milik yang dijangka akan dikenali sebagai Ioniq 2 – Autocar UK. Model ini dijangka akan membuat kemunculan sulungnya pada pameran IAA Mobility bulan depan di Munich, yang juga dikenali sebagai Munich Motor Show. Ia dikatakan akan diperkenalkan sebagai kembar kepada model Kia EV2, yang juga sekarang sedang dibangunkan.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha Hyundai untuk memperluaskan barisan EV mereka di pasaran Eropah. Kehadiran Ioniq 2 bukan sahaja akan membuka jalan kepada kemasukan ke segmen baru, tetapi juga akan mengisi ruang kosong dalam barisan model sedia ada — khususnya di antara Hyundai Inster dan Kona Electric.

Berdasarkan imej intip yang tular setakat ini, Ioniq 2 dijangka mempunyai saiz hampir sama dengan Hyundai Bayon, menjadikannya pesaing langsung kepada model seperti Renault 4, Volkswagen ID.2X dan Skoda Epiq yang akan tiba tidak lama lagi. Reka bentuknya dikatakan menyerupai gaya hatchback yang dinaikkan, dengan garis bumbung condong serta jalur lampu LED seakan model Ioniq 6 terkini.

Hyundai Ioniq 2 dilapor akan buat penampilan di Munich Motor Show bulan depan – kembar Kia EV2

Setakat ini, maklumat teknikal mengenai sistem janaan kuasa masih terhad. Namun, laporan awal menyatakan bahawa Ioniq 2 akan dibina menggunakan platform E-GMP yang sama seperti model EV lain keluaran Hyundai-Kia. Ini memberi petunjuk bahawa Ioniq 2 mungkin akan hadir dengan konfigurasi pacuan roda hadapan, serta pilihan pek bateri berkapasiti 58.3 kWh atau 81.4 kWh, sama seperti model EV3 yang sedikit lebih besar.

Hyundai dijangka akan mula menjual Ioniq 2 sekitar suku ketiga tahun 2026, iaitu beberapa bulan selepas pelancaran Kia EV2. Dari segi harga, Ioniq 2 dijangka akan ditawarkan pada paras harga sekitar £25,000, atau kira-kira RM142,000, menjadikannya antara EV paling mampu milik dalam barisan Hyundai setakat ini.

The post Hyundai Ioniq 2 dilapor akan buat penampilan di Munich Motor Show bulan depan – kembar Kia EV2 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts