Syarikat pembekal unit rangkaian kuasa kerjasama Geely dan Renault iaitu Horse Powertrain memperkenalkan enjin Horse H12 Concept, iaitu enjin konsep generasi baharu yang menunjukkan teknologi enjin pembakaran dalaman dengan penggunaan bahan api yang sangat rendah untuk digandingkan dengan sistem hibrid. Ia juga dibina dengan kerjasama syarikat petroleum dari Sepanyol iaitu Repsol, di mana enjin H12 Concept ini beroperasi dengan bahan api yang 100% boleh diperbaharui dibekalkan oleh syarikat tersebut.
Enjin H12 Concept ini sebenarnya merupakan evolusi dari enjin HR12 yang boleh ditemui pada model-model produksi sedia ada seperti Nissan Kicks e-Power yang kini dijual di pasaran Malaysia. Antara pembaharuan yang dibuat adalah termasuk merombak rekaan kebuk pembakaran bagi membolehkan ia mencapai nisbah mampatan sehingga 17:1, diberikan sistem edaran semula gas ekzos (EGR) generasi baharu, menggunakan pengecas turbo yang dioptimakan, sistem penyalaan tenaga-tinggi, pengurangan geseran komponen-komponen dalaman menerusi penggunaan minyak pelincir dari Repsol serta kotak gear hibrid baharu dengan pengurusan tenaga yang dioptimakan.
Hasilnya enjin Horse H12 Concept ini mampu untuk mencapai kecekapan haba brek puncak (BTE) 44.2% sekaligus dapat mencapai kadar penggunaan bahan api 40% lebih rendah (berbanding penggunaan bahan api purata kenderaan penumpang di Eropah pada 2023) iaitu di bawah 3.3 liter untuk setiap 100 km, berdasarkan kitaran ujian WLTP.
Menurut Horse Powertrain lagi, dengan beroperasi menggunakan bahan api 100% diperbaharui, kereta saiz sederhana yang dipadankan dengan enjin H12 Concept ini akan menghasilkan 1.77 tan C02 setahun lebih rendah dari kereta yang menggunakan bahan api tradisional dengan perjalanan sejauh purata 12,500 km.
“Enjin Horse H12 Concept ini merupakan contoh bagaimana enjin berkeberkesanan tinggi dan bahan api boleh diperharui boleh mengurangkan pencemaran hari ini, tanpa menunggu solusi-solusi masa hadapan. Sebagai syarikat, kami percaya bahawa dengan bergantung hanya pada satu teknologi bukanlah cara yang paling cepat untuk mengurangkan pencemaran. Sebab inilah mengapa kami menyokong pendekatan neutral teknologi yang membolehkan inovasi merentasi semua solusi – elektrik, hibrid, enjin penambah jarak dan bahan api rendah karbon,” kata CEO Horse Powertrain, Patrice Haettel.
The post Horse Powertrain dedah enjin H12 Concept – mampu capai penggunaan bahan api tak sampai 3.3L/100 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















