Sekian lama tiada model baru, Boon Siew Honda (BSH) hari ini melancarkan Vario 125 Street untuk pasaran Malaysia pada harga RM7,468 tidak termasuk insurans. Dua pilihan warna disediakan, iaitu ungu dan putih, manakala jaminan pula adalah selama dua tahun atau 20,000 km.
Meskipun mempunyai nama yang hampir sama seperti satu lagi skuter 125 cc dalam barisan produk BSH, model baru ini menampilkan rekaan badan tersendiri dan tidak sama dengan Vario 125 yang dilancarkan pada tahun 2023 (masih ditawarkan sehingga sekarang).
Semua lampunya menggunakan unit LED, dengan bahagian belakang bersaiz kecil, manakala bahagian atas pemegangnya tidak mempunyai perumah dan menggunakan rekaan jenis terbuka. Rim 14 inci hadapan dan belakangnya pula dicat warna yang sama seperti panel badan.
Menggerakkan Vario 125 Street ini adalah enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-Fi, sejukan cecair berkapasiti 124.9 cc, dipadankan bersama transmisi automatik CVT untuk menghasilkan kuasa 11.6 hp pada 8,500 rpm dan tork 11.9 Nm pada 5,000 rpm. Ini adalah enjin yang sama seperti Vario 125 dan jumlah kuasanya juga hampir sama.
Di bawah tempat duduk Vario 125 Street ini terdapat ruang simpanan 18 liter, boleh menempatkan sebuah helmet dan kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk dua poket barangan (satu mempunyai penutup), soket pengecas USB-C dan kunci pintar.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, satu penyerap hentak di belakang, manakala brek pula menggunakan unit cakera di hadapan dan dram di belakang. Tiada ABS pada brek ini, tetapi Honda menggunakan sistem Combined Brake System (CBS). Panel meter terdiri daripada unit digital, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 5.5 liter.
The post Honda Vario 125 Street dilancarkan di Malaysia – skuter 125 cc 11.6 hp, rim 14 inci, brek CBS, RM7.5k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.








































