Ini sesuatu yang diluar jangkaan – EV kompak Honda Super-One Prototype yang baru sahaja didedahkan untuk peringkat global di Japan Mobility Show 2025 bulan lalu tiba-tiba dijumpai sedang diuji di jalan raya awam di Malaysia! Unit yang diuji tersebut masih dilindungi oleh pelekat penyamaran dan mengenakan trade plate dari Melaka, negeri terletaknya kilang pemasangan Honda Malaysia.

Honda Super-One Prototype ini sudah disahkan akan dijual di Jepun bermula tahun hadapan, di mana versi produksinya nanti dijangka akan menampilkan rupa yang sama (seperti Prelude Prototype dan versi produksi sebenar Prelude generasi ke-6), dikenali sebagai Honda Super-One.

Sebelum didedahkan tanpa sebarang penyamaran di Tokyo, Super-One Prototype ini terlebih dahulu muncul dengan pelekat penyamaran di Goodwood Festival of Speed 2025 di UK pada Jun, dan kemudian di bawa ke Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025 bulan berikutnya.

Honda mengesahkan bahawa Super One Prototype ini diasaskan dari platform N Series, iaitu barisan model K-Car Honda di Jepun seperti N-One, N-Box, N-WGN, dan juga EV N-One e: yang baru dilancarkan di Jepun Julai lalu, di mana platform ringan tersebut mampu untuk menghasilkan sebuar kereta yang lincah.

Honda Super-One Prototype dijumpai diuji di Malaysia  – EV jelmaan semula City Turbo II akan dijual di sini?

Dari segi rupa, Super One Prototype ini masih diasaskan dari model produksi N-One e:, tetapi ia kini diberikan keempat-empat fender yang lebih lebar, menghasilkan rupa yang lebih stabil dan garang dan bagi membolehkan ia dipadankan dengan tayar yang lebih lebar, yang tentunya memberikan cengkaman dan kestabilan badan lebih baik.

Secara tidak langsung, rupa Super One Prototype ini seolah-oleh jelmaan semula bagi model ikonik City Turbo II yang diperkenalkan Honda pada era 80’an – Honda tidak menyebut perkara ini dalam kenyataan yang dikeluarkan, namun City Turbo II dalam versi kereta kawalan jauh muncul dalam video Super One Prototype ini.

Honda turut menyatakan bahawa pengalir udara yang diberikan pada bahagian hadapan dan belakang hatchback ini bukan sahaja memberikan aspek aerodinamik lebih baik, malah turut membantu sistem penyejukan untuk beroperasi lebih efisien.

Dengan saiz yang lebih lebar, sudah tentu Super-One ini bukan lagi diklasifikasikan sebagai K-Car, dan ia mungkin menerima unit rangkaian kuasa yang lebih berkuasa. Untuk konteks, bagi EV N-One e: ia menerima motor elektrik tunggal memacu roda hadapan dengan kuasa maksima untuk sebuah K-Car iaitu 64 PS dan 162 Nm, digerakkan dengan bateri 29.6 kWj bagi memberikan jarak perjalanan 270 km (WLTP) untuk satu cas penuh.

Honda Super-One Prototype dijumpai diuji di Malaysia  – EV jelmaan semula City Turbo II akan dijual di sini?
Honda Super-One Prototype dijumpai diuji di Malaysia  – EV jelmaan semula City Turbo II akan dijual di sini?

Masih tiada sebarang spesifikasi teknikal diumumkan bagi Super One Prototype ini di mana Honda hanya menyatakan ia dibangunkan dengan konsep e: Dash Booster, ditambah dengan rekaan bagi merangsang semua deria pemandu yang membangkitkan rasa “keseronokkan memandu”.

Jadi boleh dijangka prototaip dan model produksi Super One ini kelak akan dibekalkan dengan motor yang lebih berkuasa dan bateri dengan kapasiti lebih tinggi. Honda turut mengesahkan bahawa model ini akan menampilkan Boost Mode, iaitu mod yang bukan sahaja membebaskan semua potensi dari unit rangkaian kuasa, malah memberikan rasa pemanduan, pecutan dan getaran seperti memandu sebuah kereta dengan enjin pembakaran dalaman.

Ia termasuk menampilkan semula sistem Active Sound Control seperti pada Civic Hybrid dan Prelude yang menghasilkan bunyi enjin palsu, serta rasa tukaran gear palsu yang tajam seolah-olah ia dipadankan dengan kotak gear tujuh kelajuan.

Honda Super-One Prototype dijumpai diuji di Malaysia  – EV jelmaan semula City Turbo II akan dijual di sini?

Pada bahagian dalaman, Super One Prototype ini masih menampilkan papan pemuka dengan rupa asas yang sama seperti N-One e:. Namun versi lebih berkuasa ini tampil dengan tempat duduk lebih sporty serta serlahan-serlahan jalur biru pada papan pemuka. Honda turut menyatakan rekaan grafik tiga tolok utama akan diberikan pada papan instrumen digital ketika pemandu memilih Boost Mode bagi memandu kereta ini.

Selain dari Jepun, Honda telah mengesahkan bahawa Super-One ini turut akan dijual di pasaran United Kingdom dan juga beberapa pasaran Asia yang lain. Dan oleh itu, Honda menyatakan bahawa Super-One Prototype ini telah pun menjalani ujian ekstensif pada pelbagai permukaan jalan raya dan di bawah pelbagai keadaan cuaca di Jepun, UK dan juga beberapa negara di Asia bagi menambah baik prestasi pemanduannya.

Kemunculan unit ujian Super-One Prototype ini mungkin salah satu ujian yang dinyatakan tersebut, dan secara tidak langsung ini mungkin menandakan versi produksinya nanti mungkin akan dijual secara rasmi pada pasaran tempatan. Walaubagimanapun harga jualannya sudah tentu tidak murah. Model EV pertama Honda yang dijual di Malaysia iaitu e:N1 dijual di sini pada harga RM150k dengan insentif pengecualian cukai, dan insentif ini akan ditamatkan pada penghujung tahun ini. Jadi anda boleh bayangkanlah harga jualan bagi model istimewa seperti Super One ini kelak.

The post Honda Super-One Prototype dijumpai diuji di Malaysia – EV jelmaan semula City Turbo II akan dijual di sini? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts