Boon Siew Honda (BSH) melancarkan satu versi istimewa untuk RS-X Winner, dipanggil sebagai Tricolor Edition, membawakan warna ikonik jenama Honda, serta tambahan beberapa aksesori untuk menjadikannya lebih menarik. Model ini dijual pada harga RM10,298 tidak termasuk insurans.
RS-X Winner Tricolor Edition hanya akan dikeluarkan sebanyak 800 unit dan ia dipasang terus dengan aksesori RCB yang terdiri daripada angkup brek hadapan S-26, getah pemegang Nagamaki dan pelindung bahagian tepi pemegang. Anda juga dapat melihat terdapat panel tambahan di bahagian tepi motosikal ini.
Selain daripada itu, bagi memberikan lebih nilai kepada pembeli, waranti dua tahun atau 20,000 km yang biasanya diberikan secara standard untuk motosikal Honda ditambah lagi dengan waranti satu tahun tanpa had batuan dalam program Honda X-tend secara percuma.
Bahagian mekanikal motosikal ini tidak berubah, dengan ia dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 149.2 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm, digabungkan bersama transmisi enam kelajuan.
Ia juga datang dengan sistem kunci pintar, pengecas USB, fork teleskopik di hadapan, monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang, tangki bahan api 4.5 liter, pemula enjin elektrik, lampu LED, brek cakera hadapan dan belakang dengan ABS single-channel serta transmisi manual enam kelajuan.
The post Honda RS-X Winner Tricolor Edition dilancar – tambahan aksesori, terhad 800 unit sahaja, RM10,298 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.








































