Honda di Pameran Permotoran Antarabangsa Bangkok (BIMS) 2026 tidak hanya mempamerkan model Honda e:N2. Turut dipertontonkan ialah Honda Prelude serba baru, yang dilahirkan semula dengan sistem janaan hibrid. Coupe dua-pintu itu sudah pun mula dijual di beberapa pasaran seperti AS dan Jepun, dengan Malaysia juga dijangka akan menerimanya dalam tahun ini.
Sistem hibrid yang digunakan oleh Prelude adalah sama dengan yang ada untuk Civic e:HEV; menampilkan sistem janaan Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) oleh Honda sendiri. Ia terdiri daripada enjin 2.0 liter NA empat-silinder sebaris petrol dengan kitaran Atkinson, yang menghasilkan sebanyak 141 PS (139 hp atau 104 kW) pada 6,000 rpm dan 182 Nm tork pada 4,500 rpm.

Enjin LFC-H4 berkenaan digandingkan juga dengan sebuah motor elektrik dan bertindak sebagai generator untuk bateri, yang kemudian digunakan untuk menghantar tenaga kepada motor di depan yang menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 315 Nm. Jika diperlukan, enjin berkenaan juga boleh memacu roda depan secara langsung, dengan output keseluruhan sistem yang ada sebanyak 203 PS (200 hp atau 149 kW).
Unit yang dipamerkan ini mengenakan warna badan Crystal Black Pearl, dan boleh dilihat mengekalkan banyak persamaan berbanding versi konsep yang ditunjukkan pada Oktober 2023. Bahagian dalaman pula mengenakan gandingan warna biru dan putih, dengan rekaan yang mirip ruang dalaman Civic; model yang turut menjadi asas binaan Prelude. Beberapa kelainan berbanding kabin Civic antaranya melibatkan stereng tiga-jejari yang rata di bahagian bawah dengan penanda tegak di tengah serta corong udara heksagonal tanpa kemasan jaring mesh.

Bahagian konsol tengah juga diberi rekaan baru, menempatkan butang tekan pemilih gear dan bukannya tuil gear biasa. Ini diapit pula oleh suis brek parkir elektronik serta pemilih mod pemanduan (Comfort, GT, Sport dan Individual). Di situ juga terletak butang S+ Shift, yang merupakan sistem oleh Honda untuk menghadirkan peralihan transmisi lapan kelajuan maya dan membolehkan pemandu untuk “masuk gear” menggunakan pedal di stereng.
Ketika ini belum disahkan sama ada Prelude akan dijual di Thailand atau sebaliknya. Di Indonesia, pasaran Asia Tenggara yang akan memasarkan Prelude, ia dijual dengan harga sekitar satu bilion Rupiah (sekitar RM234k).
The post Honda Prelude dipamer di Bangkok — <em>coupe</em> dengan sistem hibrid 2.0L, jana kuasa 203 PS, mod S+ Shift appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




























