Honda Insight kembali diperkenalkan, namun kali ini dengan perubahan yang cukup besar berbanding generasi terdahulu. Selepas tiga generasi terkenal sebagai model hibrid yang menampilkan teknologi elektrifikasi terkini Honda, model terbaru ini sekarang beralih sepenuhnya kepada kuasa elektrik. Lebih menarik, Insight juga buat pertama kalinya tampil dalam bentuk SUV.

Model ini dijadualkan dilancarkan di Jepun dalam tempoh tiga bulan akan datang, dengan tempahan dibuka bermula 19 Mac. Walaubagaimanapun, reka bentuknya mungkin tidak begitu asing kerana model yang sama sebenarnya telah diperkenalkan di China pada tahun 2024 dengan nama e:NS2, dibangunkan menerusi kerjasama antara Honda dan Dongfeng.

Berdasarkan model yang dijual di China itu, Insight dijangka berkongsi komponen mekanikal yang sama. Ini termasuk penggunaan satu motor elektrik yang dipasang pada gandar hadapan dengan kuasa 150 kW atau bersamaan 204 PS serta tork 310 Nm.

Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km

Angka tersebut hampir sama dengan yang ditawarkan oleh BYD Atto 3. Model ini juga dijangka menggunakan bateri jenis NMC berkapasiti 68.8 kWh seperti yang terdapat pada Honda e:N1, yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 545 km mengikut kitaran ujian CLTC di China.

Bagaimanapun, siaran media bagi pasaran Jepun menyatakan bahawa Insight mampu mencapai jarak pemanduan melebihi 500 km mengikut kitaran WLTP yang lebih ketat. Ini memberi kemungkinan bahawa model untuk Jepun mungkin dilengkapi bateri berkapasiti lebih besar berbanding versi yang ditawarkan di China.

Dari segi rekaan, Insight menampilkan gaya yang cukup unik dan moden. Bahagian hadapan diserlahkan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah yang disambungkan oleh jalur lampu melintang penuh, membentuk grafik menyerupai huruf “H”. Reka bentuk lampu belakang juga mengikuti konsep yang sama.

Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km

Selain itu, model ini turut menggunakan pemegang pintu hadapan jenis tersembunyi yang keluar secara automatik, pemegang pintu belakang yang disorokkan pada bingkai, serta garis bumbung yang condong ke belakang menyerupai gaya fastback. Warna baru yang diperkenalkan, Aqua Topaz Metallic II, digambarkan sebagai gabungan kejernihan air dengan kilauan batu permata topaz.

Di bahagian dalam, Insight menampilkan susun atur kabin yang lebih berorientasikan teknologi berbanding model Honda yang biasa kita lihat. Pemandu disajikan dengan paparan instrumen digital nipis bersaiz 9.4 inci, skrin infotainmen sentuh 12.8 inci yang menggunakan sistem Honda Connect 4.0 terkini, serta head-up display bersaiz 11.5 inci.

Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km

Honda turut menyatakan bahawa Insight merupakan model pertama mereka di Jepun yang dilengkapi sistem pewangi udara binaan dalam serta fungsi pemanasan pintar yang menyelaras operasi pemanas kabin, tempat duduk dan stereng secara serentak. Sistem ini dikatakan mampu beroperasi dengan lebih senyap, cekap serta mengurangkan kesan penyahlembapan udara berbanding sistem terdahulu.

Memandangkan Insight kini ditawarkan dalam konfigurasi pemanduan sebelah kanan, terdapat kemungkinan besar model ini akan dipasarkan ke lebih banyak negara dalam masa terdekat. Ini termasuk Malaysia, memandangkan model Honda e:N1 yang sebelum ini hanya ditawarkan di China telah pun mula dijual di pasaran tempatan sejak Mei 2025, walaupun sambutannya setakat ini dilihat cuma sederhana.

Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km
Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km
Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km
Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km
Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km
Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km
Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km

The post Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts