Honda Malaysia telahpun melancarkan versi facelift untuk Honda HR-V generasi ketiga minggu lalu – ia ditawarkan masih dalam empat varian, namun hanya varian paling tinggi iaitu RS e:HEV dibawa ketika majlis pelancaran berkenaan. Jadi kini kami akan berusaha untuk mendapatkan gambar-gambar untuk varian lain HR-V facelift 2025 ini, dimulakan dengan varian tertinggi dengan enjin petrol turbo iaitu HRV 1.5 Turbo V yang dapat kami rakamkan di bilik pameran Honda Sumber Auto Edaran, Seksyen 13 Petaling Jaya.
Varian ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM137,900, atau RM6,000 lebih murah dari varian RS e:HEV yang dijual pada harga RM143,900. Varian ini juga adalah RM17,000 lebih mahal berbanding varian enjin turbo tetapi kelengkapan lebih rendah iaitu 1.5 Turbo E dijual pada harga RM120,900. Manakala varian paling asas yang hanya dijana enjin 1.5L NA pula dijual pada harga RM115,900.
Sekali imbas, varian Turbo V ini menampilkan rupa yang hampir serupa seperti RS e:HEV dengan gril hadapan yang sama, dan juga set rim aloi 18-inci lima-jejari berkembar yang sama. Apa yang berbeza varian ini tidak diberikan lencana RS di hadapan dan belakang, serta corak ‘degupan jantung’ pada gril bawah hadapan diberikan dalam kemasan perak (merah pada RS), serta ia tidak diberikan jalur grafik LED bawah pada lampu belakang.
Satu lagi perincian yang kurang adalah varian V ini tidak diberikan lampu hadapan LED projektor Matrix yang menampilkan sistem Adaptive Driving Beam seperti varian RS, dan hanya diberikan lampu hadapan refektor LED biasa. Model dengan enjin turbo ini juga menampilkan dua tip ekzos yang diserlahkan di belakang, berbanding versi RS dengan unit rangkaian kuasa hibrid disorokkan tip tersebut di sebalik bampar.
Pada sebelah dalam, varian Turbo V ini masih menerima balutan upholsteri kulit hitam, tetapi nampak kurang sporty kerana tidak menampilkan logo RS pada tempat duduk hadapan serta tidak diberikan serlahan jahitan merah.
Tiada perubahan unit rangkaian kuasa diberikan. Varian paling asas S masih menerima enjin 1.5L petrol NA DOHC i-VTEC empat-silinder yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Manakala varian 1.5 Turbo E dan 1.5 Tubro V pula menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo dengan berkuasa 181 PS dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm. Kedua-dua varian NA dan Turbo ini digandingkan dengan transmisi CVT bagi memacu roda hadapan.
Varian RS e:HEV pasaran Malaysia ini turut masih diberikan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV, yang merangkumi enjin 1.5L NA kitaran Atkinson berkuasa 107 PS dan 131 Nm yang bertindak secara primari sebagai generator untuk mengecas bateri, bersama motor elektrik yang memacu roda hadapan (pada situasi tertentu kedua-duanya akan memacu roda) menghasilkan kuasa keseluruhan 131 PS/253 Nm.
Lima warna badan ditawarkan untuk HR-V facelift 2025 pasaran Malaysia ini iaitu Platinum White Pearl, Stellar Diamond Pearl, Meteroid Grey Metallic, Crystal Black Pearl dan Pheonix Orange Pearl. Tiada lagi warna merah Ignite Red Metallic pada versi facelift kali ini. Perincian spesifikasi bagi setiap varian adalah seperti berikut:
Honda HR-V 1.5 S 2025
Ciri standard:
Mekanikal
- Enjin 1.5 litre DOHC i-VTEC
- 1,498 cc NA empat-silinder petrol
- 121 PS pada 6,600 rpm, 145 Nm pada 4,300 rpm
- Continuously variable transmission (CVT)
- Pacuan roda depan
- Mod pemanduan Econ dan Normal
- Brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold
- Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
- Cakera brek berliang (depan), cakera tertutup (belakang)
Luaran
- Lampu LED Automatik
- Lampu belakang kombinasi LED
- Kemasan bawah hitam berkilat
- Rim 18-inci
- Cermin sisi lipatan berkuasa
- Sistem tanpa kunci dengan ciri kunci automatik ketika jauh
- Antena Sirip Yu
- Pemegang pintu dengan warna badan
Dalaman
- Butang Push Start
- Papan pemuka material sentuhan lembut
- Stereng multifungsi Urethane
- Larasan stereng tinggi/rendah dan rapat/jauh
- Kluster instrumen analogue dengan paparan multi-info
- Tingkap kuasa untuk pemandu dengan Auto naik/turun
- Tombol gear Urethane
- Kerusi balutan fabrik hitam
- Kerusi depan larasan manual
- Kerusi belakang Ultra Seat dengan nisbah lipatan 60:40
- Kawalan pendingin zon tunggal dengan corong belakang
- Head unit 2-DIN lapan-inci skrin sentuh dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
- Empat pembesar suara
- Dua slot USB di depan
- Empat sensor parkir
- Kamera undur pelbagai sudut
- Penutup ruang barangan boleh lipat
- Tayar ganti saiz penuh
Keselamatan
- Empat beg udara (depan dan sisi)
- ISOFIX belakang dengan cagak atas
- Empat penderia parkir belakang
- Kawalan menurun bukit
- Isyarat berhenti kecemasan
- Bantuan pemandu Honda Sensing
- AEB
- Kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go
- Bantuan ke tengah lorong
- Bantuan mengekalkan lorong
- Lampu tinggi automatik
- ABS dengan EBD dan bantuan brek
- Kawalan kestabilan
- Agile Handling Assist (AHA)
- Bantuan mula mendaki
- Kawalan menuruni bukit
- Lampu isyarat berhenti kecemasan
- Peringatan tali keledar untuk semua kerusi
- Peringatan kerusi belakang
Honda HR-V 1.5 Turbo E 2025
Tambahan:
Mekanikal
- Enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo
- 1,498 cc turbocas empat-silinder petrol
- 181 PS pada 6,600 rpm, 240 Nm dari 1,700 dan 4,500 rpm
- Pedal penukar gear di stereng
- Mod pemanduan Econ, Normal dan Sport
Luaran
- Lampu kabus depan LED
- Rim aloi 18-inci
- Muncung ekzos berkembar
- Penghidup enjin jarak jauh
Dalaman
- Kemasan papan pemuka warna perak
- Kluster instrumen separa digital dengan paparan tujuh-inci
- Perehat lengan belakang
- Dua slot USB di belakang
Keselamatan
- Enam beg udara
Honda HR-V 1.5 Turbo V 2025
Tambahan:
Mekanikal
- Stereng nisbah boleh ubah
Luaran
- Lampu isyarat membelok depan LED sequential
- Rim 18-inci
Dalaman
- Cermin sisi lipatan automatik
- Stereng balutan kulit
- Tombol gear balutan kulit
- Kerusi balutan kulit hitam
- Kerusi pemandu larasan kuasa lapan-arah
- Dua cermin solek dengan lampu
- Lapan pembesar suara
Keselamatan
- Kamera titik buta LaneWatch
Honda HR-V 1.5 RS 2025
Tambahan:
Mekanikal
- Motor elektrik di depan
- 131 PS, 253 Nm
- Enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC
- 1,498 cc NA kitaran Atkinson empat-silinder petrol
- 105 PS dari 6,000 hingga 6,400 rpm, 127 Nm dari 4,500 hingga 5,000 rpm
- Transmisi kelajuan tunggal dengan klac pengunci
Luaran
- Lampu hadapan projektor LED Matrix dengan lampu tinggi adaptif
- Lampu membelok aktif
- Lampu belakang LED penuh dengan jalur LED
- Muncung ekzos tunggal terselindung
Interior
- Pengilap automatik
- Tempat duduk balutan kulit dengan logo RS
- Pedal sport
- Pengecas telefon pintar tanpa wayar
- Kawalan pendingin automatik dua zon
- Kit baik pulih tayar
The post Honda HR-V 1.5 Turbo V facelift 2025 di Malaysia – galeri penuh bagi varian tertinggi petrol turbo, RM138k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.