Bulan lalu, Honda Malaysia telah mengumumkan pengenalan CR-V Dual-Tone Edition, yang dikeluarkan terhad 300 unit sahaja, sempena dengan ulang tahun ke-25 syarikat berkenaan di Malaysia.
Seperti mana namanya, model generasi ke-enam ini, yang merupakan SUV segmen-C paling laris di Malaysia, telah diberikan dua warna untuk luaran iaitu dengan bumbung hitam, bersama tiang-A dan perumah cermin sisi dengan rona yang sama. Ini merupakan buat pertama kalinya CR-V diberikan gabungan warna sebegini di pasaran Malaysia.
Dua warna luaran utama tersedia untuk bumbung istimewa hitam ini, iaitu Ignite Red Metallic dan Platinum White Pearl. Pembeli boleh memilih daripada dua varian SUV untuk edisi ini, iaitu gred E dan V AWD, yang kedua ialah versi yang dilihat dalam gambar-gambar ini.
Selain warna bumbung, tiada lagi perubahan mekanikal atau spesifikasi, dan ia masih kekal dijanakan oleh enjin L15BE 1.5L VTEC turbo empat-silinder yang menawarkan 193 PS (190 hp) pada 6,000 rpm dan 243 Nm dari 1,700 hingga 5,000 rpm. Ciri kelengkapan lain juga masih dikekalkan seperti sebelum ini.
Apa yang lebih menarik ialah pilihan dua tona ini tidak memerlukan sebarang kos tambahan, dengan E kekal berharga RM169,900 dan harga V pula RM181,900, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans. Jadi, jika anda ingin memiliki CR-V anda dalam skema warna dua tona dari awal, inilah pilihan dan masa terbaik. Cepat tau… ada 300 unit sahaja.
The post Honda CR-V Dual-Tone Edition – versi bumbung hitam sempena ulang tahun ke-25 di M’sia, 300 unit sahaja appeared first on Paul Tan’s Automotive News.













































