Dengan perjanjian antara kerajaan Amerika Syarikat dan kerajaan Jepun yang memudahkan sistem pensijilan bagi import-silang kenderaan kedua-dua negara, Honda mengumumkan bakal mengeksport beberapa kenderaannya yang dibangunkan dan diproduksi di Amerika Syarikat ke Jepun bermula separa kedua tahun ini, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang lebih luas di negara asal jenama itu.
Dua model yang dipilih untuk tujuan ini iaitu Acura Integra Type S dan juga SUV Honda Passport Trailsport Elite. Kedua-dua model ini diproduksi di kilang Honda Development & Manufacturing of America, LLC (HDMA), dan sebelum ini telah pun dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2026 dan Osaka Auto Messe 2026 untuk dipertontonkan kepada orang awam.
Acura Integra Type S dilancarkan di pasaran Amerika Syarikat pada April 2023, merupakan varian paling berkuasa berbanding versi asas yang muncul setahun sebelum itu. Secara asasnya Integra generasi baharu ini dibangunkan menggunakan platform yang sama dengan Honda Civic generasi ke-11, manakala versi Type S ini berkongsi kelengkapan casis, suspensi serta enjin K20C DOHC VTEC Turbo berkuasa 320 hp/420 Nm dan kotak gear manual enam-kelajuan yang sama dengan Honda Civic Type R FL5.
Manakala Honda Passport merupakan SUV yang lebih besar dari CR-V dibangunkan khas untuk pasaran Amerika Utara, serta mempunyai kebolehan meredah laluan off-road sebenar. Ia digerakkan dengan enjin V6 3.5 liter berkuasa 285 hp dan tork maksima 355 Nm, digandingkan bersama transmisi automatik 10 kelajuan sistem pacuan semua roda i-VTM4 dengan torque vectoring yang dapat mengagihkan tork dengan lebih tepat. Varian Trailsport Elite yang dibawa ke Jepun ini merupakan varian tertinggi yang diberikan kebolehan off-road lebih baik.
The post Honda akan eksport Acura Integra Type S dan Honda Passport dari Amerika Syarikat ke Jepun tahun ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















