Honda memulakan hari pertama pameran Japan Mobility Show (JMS) 2025 dengan memperkenalkan dua kenderaan elektrik (EV) prototaip terbaru, sebagai sebahagian daripada usaha syarikat itu mempercepatkan peralihan ke arah elektrifikasi. Salah satu model yang mencuri perhatian ialah Honda 0 α (Alpha), EV generasi baru dalam barisan Honda 0 Series.
Model ini dibangunkan menggunakan konsep asas yang sama seperti Honda 0 Saloon dan Honda 0 SUV, dua model pertama siri tersebut yang diperkenalkan semasa Consumer Electronics Show (CES) pada Januari lalu. Namun, Honda 0 α hadir sebagai pilihan permulaan (entry-level), menampilkan rekaan lebih halus dan kabin luas yang menekankan keselesaan penumpang sebagai tarikan utama.
Walaupun butiran teknikal belum didedahkan sepenuhnya, Honda mengesahkan bahawa 0 α akan dilengkapi teknologi teras pembangunan “Thin, Light, and Wise” — falsafah reka bentuk baru yang turut diterapkan pada model lain dalam siri ini. Antara teknologi yang dijangka hadir termasuk sistem operasi Asimo OS, pemanduan separa autonomous Tahap 3 serta platform elektrik khusus yang digunakan oleh model lebih premium.
Pendekatan “Thin” turut diperincikan semasa pembentangan. Melalui rekaan berasaskan konsep ini, Honda berjaya mengekalkan ketinggian badan yang rendah tanpa menjejaskan jarak kelegaan tanah. Hasilnya, kenderaan ini mempunyai bentuk kabin yang nipis namun tetap luas dan selesa, disertai dengan rekaan badan lebar yang memberikan penampilan stabil dan dinamik seperti sebuah SUV sebenar.
Dari segi gaya luaran, bahagian belakang Honda 0 α menyerlah dengan rekaan c-pillar panjang yang bersambung ke bahagian belakang tegak, menjadikannya kelihatan unik dari pandangan belakang. Lampu hadapan dan belakang dipasang dalam ruang paparan skrin, menampilkan elemen pencahayaan moden.
Bahagian depan pula menampilkan rekaan bersepadu — di mana lampu utama, penutup pengecasan dan logo bercahaya digabungkan dalam satu panel skrin. Sementara itu, bahagian belakang hadir dengan susunan lampu berbentuk U, menggabungkan lampu brek, isyarat membelok dan lampu undur untuk menyerlahkan bentuk panel belakang yang futuristik.
Honda 0 α merupakan salah satu daripada tujuh model baru Honda 0 Series yang dirancang untuk diperkenalkan menjelang tahun 2030. Ia akan menyusul selepas pelancaran Honda 0 SUV yang dijangka memasuki pasaran tahun depan. Versi produksi Honda 0 α dijadualkan dilancarkan secara global pada tahun 2027, dengan Jepun dan India menjadi pasaran pertama yang menerimanya.
Sebagai model EV peringkat permulaan, tidak mustahil Honda 0 α turut dibawa ke pasaran lain, termasuk rantau Asia Tenggara. Buat masa ini, ia jelas menunjukkan hala tuju baru Honda dalam dunia elektrifikasi — gabungan rekaan pintar, ringan dan penuh gaya masa depan.
The post Honda 0 Alpha EV prototaip didedah di Tokyo – SUV kelas permulaan yang akan mula dijual pada 2027 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















