Selepas insentif pengecualian cukai untuk kenderaan elektrik penuh (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) berakhir pada 31 Disember 2025, harga bagi model-model sedemikian sepatutnya naik bermula 1 Januari tahun ini. Namun untuk Tesla, harga bagi model-model CBUnya yang dijual di sini iaitu Tesla Model 3 dan juga Tesla Moel Y diumumkan tidak naik, dan masih dijual pada harga yang sama.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Tesla Malaysia, syarikat itu menyatakan bahawa Malaysia merupakan pasaran penting buat Tesla dan ia akan terus melabur dalam pasaran tempatan bagi meneruskan komitmennya untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga lestari.
Ia juga kini dalam persediaan untuk membuka lokasi jualan baharu di Kuching, Sarawak manakala sebuah popup store baharu telahpun dibuka di Lot G-064, Vivacity Megamall minggu ini.
Jaringan pengecas Tesla di Malaysia turut sedang dikembangkan lagi, dengan beberapa stesen terbaharu dibuka termasuk di Nexus Bangsar South dan Quayside Mall di Kota Kemuning untuk kawasan Lembah Klang. Beberapa lokasi pengecasan lain turut dirancang untuk dibuka tahun ini.
Buat masa sekarang Tesla Malaysia sudah mempunyai 18 stesen Supercharging dan 17 Destination Charging, dengan jumlah 76 pengecas Super serta 79 pengecas Destinasi secara keseluruhan.
Manakala untuk mereka yang mahu membeli kenderaan-kenderaan baharu Tesla, tempahan menerusi konfigurator Tesla akan dibuat bulan ini di mana pelanggan akan menerima kereta-kereta yang ditempah bermula bulan Februari. Pelanggan juga ditawarkan dengan barisan kereta-kereta demo yang telah disenaraikan dalam laman inventori Tesla jika mahukan kereta lebih cepat.
The post Harga Tesla Model 3, Model Y 2026 tidak berubah di Malaysia – Tesla komited terhadap “pasaran penting” appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















