Walaupun terdapat penurunan harga minyak mentah global hari ini berikutan pengumuman gencatan senjata, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa kesannya tidak serta-merta diterjemahkan kepada penurunan harga runcit bahan api di Malaysia. “Ini kerana harga pam di negara ini ditentukan berdasarkan purata harga petrol dan diesel minggu sebelumnya, dan bukannya harga semasa hari ini.

“Sehubungan itu, harga semasa masih mencerminkan kos bekalan yang tinggi sepanjang tempoh lima minggu lalu, ketika pasaran global berada pada paras yang lebih tinggi, yang telah mencecah sekitar AS$150 setong bagi produk petrol dan AS$250 setong bagi produk diesel, dan ini terus mempengaruhi harga runcit di dalam negara,” kata MOF dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Justeru, untuk tempoh 9 hingga 15 April 2026, MOF mengumumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON97 dinaikkan sebanyak 40 sen seliter, menjadi RM5.35 seliter.

Harga minyak 9-15 April – RON97 dan RON95 masing-masing naik 40 sen seliter, diesel naik 70 sen seliter

Malah RON95 tanpa subsidi juga mengalami kenaikan sebanyak 40 sen seliter, menjadi RM4.27 seliter. Namun RON95 bersubsidi di bawah program Budi95 masih dikekalkan pada RM1.99 seliter.

Manakala diesel untuk semenanjung Malaysia pula mengalami kenaikan sebanyak 70 sen, menjadi RM6.72 seliter. Walau bagaimana pun diesel untuk Sabah, Sarawak dan Labuan dikekalkan pada RM2.15 seliter.

“Kerajaan Madani akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi, di samping terus melindungi rakyat menerusi mekanisme sokongan bersasar yang sedia ada,” sambung MOF.

Katanya lagi, kerajaan juga akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat secara teliti dan berhemah bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara.

The post Harga minyak 9-15 April – RON97 dan RON95 masing-masing naik 40 sen seliter, diesel naik 70 sen seliter appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts