Bagi minggu terakhir tahun 2025 iaitu 25 hingga 31 Disember, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 diturunkan sebanyak lapan sen seliter menjadi RM3.16 seliter.
Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia pula diturunkan sebanyak enam sen seliter menjadi RM2.56 seliter. Walau bagaimana pun harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 masih kekal pada RM1.99 seliter.
Begitu juga dengan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turut diturunkan sebanyak lapan sen seliter menjadi RM2.94 seliter. Manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Pada 2 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan kekal komited melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON 95 menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95), sekali gus menolak cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api ditetapkan mengikut harga pasaran. Katanya, penyasaran subsidi RON 95 merupakan langkah berhemat yang membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan tanpa membebankan rakyat.
The post Harga minyak 25-31 Dis 2025 – Semua turun; RON97 kini RM3.16, RON95 jadi RM2.56, diesel pada RM2.94 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















