Susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat berikutan serangan ke atas Republik Islam Iran, pada 9 Mac 2026, harga minyak Brent telah mencecah US$119 setong sebelum kembali turun ke sekitar US$90 setong, namun keadaan pasaran kekal tidak menentu.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa bagi tempoh antara 12 hingga 18 Mac 2026, harga runcit petrol RON 97 dinaikkan sebanyak 60 sen seliter menjadi RM3.85 seliter.

Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia juga dinaikkan sebanyak 60 sen seliter menjadi RM3.27 seliter. Walau bagaimana pun harga runcit petrol bersubsidi RON95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

Untuk harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, ia dinaikkan 80 sen seliter menjadi RM3.92 seliter. Manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, ia masih berharga RM2.15 seliter.

Selain itu, MOF turut memaklumkan bahawa bagi melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga pasaran produk petroleum, kerajaan juga akan mengekalkan harga bersubsidi diesel untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung Malaysia masing-masing pada harga RM1.88 dan RM2.15 seliter dan menaikkan bantuan tunai bagi tempoh interim kepada pengguna kenderaan diesel yang layak di bawah Budi Diesel Individu dan Budi Diesel Agri-Komoditi daripada RM200 kepada RM300 untuk bulan Mac 2026. Pembayaran tambahan RM100 akan dibuat mulai 17 Mac 2026.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa harga RON95 di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walau pun harga pasaran minyak dunia ketika ini naik ketara susulan ketegangan di Asia Barat.

Beliau turut berkata keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal, dan hasil semakan dengan Petronas mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.

The post Harga minyak 12-18 Mac – RON97, RON95 tanpa subsidi naik 60 sen, diesel Semenanjung naik 80 sen appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts