Sebuah dokumen yang didakwa daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) yang dimuatkan di LinkedIn menunjukkan bermula 1 Januari 2026 nanti, semua kenderaan EV pemasangan luar (CBU) daripada jenama baru yang bakal masuk ke Malaysia akan dijual pada harga RM250k ke atas, dan kuasa motornya mestilah sekurang-kurangnya 200 kW (272 PS).

Namun, ini tidak melibatkan jenama atau model EV CBU yang sudah berada di pasaran tempatan — dengan harga lantai RM100k untuk ini masih dikekalkan. Dan sudah tentu, semua EV yang masuk ke sini pada atau selepas 28 Disember 2025 tidak lagi akan diberikan pengecualian cukai import dan duti eksais.

Harga min. EV CBU jenama baru di Malaysia akan naik ke RM250k, kuasa minimum 272 PS bermula 2026

BYD, yang merupakan jenama EV paling popular di sini, merancang untuk membuka sebuah kilang di KLK TechPark, Tanjong Malim, tetapi hanya akan mula beroperasi pada separuh kedua 2026. Stok EV CBU yang memasuki negara ini pada atau selepas 28 Disember lalu pula akan menyaksikan peningkatan harga — walaupun kadar kenaikannya akan bergantung kepada kadar duti yang baru, yang masih belum diumumkan secara terbuka. Jenama yang ingin kekal berdaya saing selepas ini perlu memasang EV mereka di Malaysia.

Banyak juga pengeluar yang sudah memasang EV mereka di sini, seperti Proton, Perodua, Volvo, Chery, Mercedes-Benz dan TQ Wuling. Selain BYD, Zeekr akan melakukannya di kemudahan Automotive Hi-Tech Valley oleh DRB-Hicom di Tanjong Malim, Leapmotor dijangka akan menggunakan kilang Stellantis di Gurun untuk tujuan itu, sementara EPMB akan memasang EV Xpeng dan MG, manakala Volkswagen ada perancangan untuk memasang EV di kilang DRB-Hicom Pekan, Pahang.

The post Harga min. EV CBU jenama baru di Malaysia akan naik ke RM250k, kuasa minimum 272 PS bermula 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts