Bagi mengurangkan kesesakan trafik di Kuala Lumpur pada waktu puncak dengan menggalakkan orang ramai memasuki ibu kota berkenaan lebih awal, kerajaan kini telah memperkenalkan satu inisiatif baharu yang dikenali sebagai ‘Bangun KL: Ke Arah Kuala Lumpur Yang Lebih Sejahtera’.

Inisiatif ini dijalankan dengan kerjasama Zus Coffee di mana sebanyak 250 cawangan rangkaian kopi berkenaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya menawarkan minuman pada harga diskaun kepada warga kota yang tiba awal antara 7 pagi hingga 8 pagi menerusi aplikasi mudah alih syarikat tersebut.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, inisiatif itu menekankan perubahan tingkah laku melalui pemberian insentif dan kerjasama rentas sektor dalam menangani tekanan trafik secara lebih menyeluruh.

“Bandar yang baik bukan sekadar cantik dari segi rupa, tetapi mesti berfungsi untuk kehidupan harian rakyat. Sebab itu, kita memulakan program Bangun KL. Ini bukan tentang slogan, tetapi tentang mengubah cara bandar ini bergerak setiap pagi.

“Kita tidak boleh selesa dengan pola lama yang menyebabkan semua orang bergerak pada waktu sama dan terperangkap dalam kesesakan sama. Bangun KL adalah usaha untuk mengagihkan semula tekanan waktu pagi supaya lebih seimbang dan lebih manusiawi,” katanya dalam laporan Bernama.

Hannah turut memberitahu bahawa dianggarkan 1.2 juta kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap pagi dan pengagihan semula sekurang-kurangnya 10 peratus daripada aliran tersebut ke waktu lebih awal mampu memberi impak signifikan kepada kelancaran trafik.

Menurutnya lagi Bangun KL merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup warga kota menerusi keseimbangan antara waktu bekerja, kesihatan dan kehidupan sosial.

The post Hannah Yeoh umum inisiatif Bangun KL untuk galak rakyat masuk ibu kota lebih awal, elak kesesakan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts