Great Wall Motor (GWM) Malaysia bakal melancarkan MPV pertama dan juga model plug-in hybrid (PHEV) sulungnya, Wey G9, pada jam 11 pagi esok, Khamis 29 Januari. Pelancaran ini akan disiarkan secara langsung (tonton di sini), sekali gus menandakan kemasukan rasmi GWM ke dalam segmen MPV premium di pasaran tempatan.
Dibuka untuk tempahan sejak Disember lalu dengan anggaran harga di bawah RM300,000, Wey G9 dipasang secara tempatan (CKD) di kilang EP Manufacturing (EPMB) di Pegoh, Melaka. Model yang dijangka masuk untuk pasaran Malaysia ialah versi jarak roda pendek dengan konfigurasi tujuh tempat duduk susunan 2-2-3, dikenali sebagai Gaoshan 7 di China. Dimensi kenderaan ini adalah sepanjang 5,050 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,900 mm dan jarak roda 3,085 mm.
Saiz tersebut menjadikan Wey G9 lebih panjang dari segi badan dan jarak roda berbanding Toyota Alphard dan Vellfire, namun masih lebih pendek berbanding MPV elektrik dari China seperti Zeekr 009, Xpeng X9 dan Denza D9 yang masing-masing melebihi 5.2 meter panjang dan mempunyai jarak roda antara 3.1 hingga 3.2 meter. Menariknya, unit CKD pertama untuk pasaran Malaysia juga dilaporkan sedang dalam perjalanan ke Thailand.
Untuk penggerak, Wey G9 menggunakan sistem plug-in hybrid Hi4 yang menggabungkan enjin petrol empat silinder turbo 1.5 liter dengan output 150 PS pada 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork 240 Nm antara 1,800 hingga 4,000 rpm dengan transmisi hibrid khusus empat kelajuan (DHT) serta motor elektrik berkuasa 109 PS dan 170 Nm untuk gandar hadapan, manakala satu lagi motor elektrik di gandar belakang menghasilkan 184 PS dan 232 Nm.
Gabungan keseluruhan sistem ini memberikan kuasa 442 PS dan tork 642 Nm, membolehkan Wey G9 pacuan semua roda memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.7 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j. Bateri NMC berkapasiti 44.2 kWh membolehkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 170 km mengikut kitaran NEDC dan dengan tangki bahan api 58 liter, jarak pemanduan keseluruhan dianggarkan sekitar 1,000 km.
Spesifikasi pasaran Thailand memberi gambaran awal tentang kelengkapan yang mungkin ditawarkan di Malaysia. Pada harga sekitar 2.4 juta baht atau kira-kira RM309,000, Wey G9 di sana hadir dengan rim aloi dua tona 18 inci, dua bumbung suria, lampu suasana 64 warna, tempat duduk hadapan berkuasa dengan fungsi pengudaraan, memori dan urutan untuk pemandu, serta tempat duduk baris kedua boleh direbahkan secara satu sentuhan lengkap dengan penyokong kaki.
Turut ditawarkan ialah peti sejuk belakang, paparan instrumen digital 12.3 inci, head-up display, skrin sesentuh 14.6 inci, monitor belakang bersaiz 17.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar 50W, sistem audio dengan 21 pembesar suara serta pintu but beroperasi tanpa sentuhan.
Dari aspek keselamatan, versi Thailand dilengkapi enam beg udara, kamera 360 darjah serta sistem bantuan pemandu yang lengkap termasuk brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan gerak, bantuan pengekalan lorong, brek automatik ketika parkir, pemantauan titik buta dengan pencegahan pelanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran pembukaan pintu dan kawalan menuruni bukit. Semua butiran rasmi untuk pasaran Malaysia akan didedahkan sepenuhnya semasa pelancaran esok.
GALERI: GWM Wey G9 yang dipamerkan di Malaysia September lalu
The post GWM Wey G9 lancar di Malaysia esok, saksikan secara langsung – dijangka 7-tempat duduk, bawah RM300k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.













































































































































