Pada hujung Oktober lalu, GWM Malaysia telah memperkenalkan varian baharu untuk GWM Tank 500 dengan penampilan lebih garang dan maskulin, yang dikenali sebagai GWM Tank 500 HEV Black Edition. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM336,800 tanpa insurans, menjadikannya RM8,600 lebih mahal berbanding varian biasa berharga RM328,800.
Untuk Tank 500 HEV Black Edition ini, ia ditampilkan dengan kemasan hitam berkilat termasuk pada lampu hadapan dengan latar belakang rona yang sama, bampar hadapan dan gril dengan jaluran hiasan, lencana Tank pada gril, tailgate dengan electric suction, pemijak sisi bantuan kuasa elektrik dan juga set rim aloi 20-inci.
Bukan itu sahaja, rel bumbung, perapi cermin tingkap, kemasan pada perumah tayar gantian, perumah lampu belakang, pembuka pintu, kemasan bendul pintu serta panel pelindung bawah bampar belakang semuanya diberikan sentuhan hitam.

Di dalamnya, masih sama dengan Tank 500 HEV standard dengan dimonopoli rona hitam termasuk pada bahagian papan pemuka digabungkan kemasan kayuan coklat, dan tempat duduk balutan kulit Nappa premium. Ciri kelengkapan lain juga dikekalkan termasuk paparan instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu, penyaman udara tiga zon dan bumbung panaromik.
Untuk penjana kuasanya, juga tiada perubahan dan masih mengekalkan unit rangkaian kuasa hibrid dan enjin 2.0 liter empat-silinder dengan pengecas turbo berkuasa 244 PS dari 5,500 rpm hingga 6,000 rpm dan dan tork maksima 380 Nm bermula 1,700 hingga 4,000 rpm, digandingkan bersama sebuah motor elektrik berkuasa 106 PS/268 Nm.
Gabungan sistem ini menghasilkan kuasa keseluruhan 346 PS dan 648 Nm, dan disalurkan menerusi transmisi HAT (Hydraulic Automatic Transmission) automatik sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

Begitu juga dengan sistem keselamatan yang dikekalkan termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantau titik buta, bantuan kekal lorong, amaran keluar selamat, kameran pemantau 540 darjah dengan pandangan telus bawah lantai dan pelbagai lagi.
Setiap pembelian model ini diberikan perlindungan waranti kenderaan selama enam-tahun tanpa had perbatuan dan waranti bateri sistem hibrid selama lapan-tahun atau 200,000km. GWM Malaysia juga menawarkan waranti sepanjang hayat untuk enjin, transmisi dan sistem hibrid HEV, namun ia hanya eksklusif untuk pembeli pertama SUV ini dan didaftarkan untuk kegunaan persendirian.
Selain itu Tank 500 HEV Black Edition ini diberikan pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun. Pembeli-pembeli terawal juga akan ditawarkan dengan set hadiah premium edisi terhad.
The post GWM Tank 500 HEV Black Edition di Malaysia – Galeri penuh SUV berkemasan hitam menawan; RM336,800 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





















































































