Dalam majlis Malam Penghargaan Tahunan Bersama Media hari ini, GWM Malaysia turut berkongsikan rancangannya untuk membawa lebih banyak model baharu ke pasaran tempatan bagi tempoh 2026 hingga 2028. Ia adalah bagi membuktikan komitmen jangka panjangnya dalam mengukuhkan pasaran automatifnya dalam negara.

Antara model yang diumumkan akan tiba di sini tidak lama lagi ialah GWM Tank 300 HEV. Bukan itu sahaja, jenama ini juga akan melancarkan dua model SUV segmen-B, dua SUV segmen-C dan SUV mewah segmen-C, tetapi tidak didedahkan model mana yang akan dibawa masuk ke pasaran tempatan.

Untuk Tank 300 HEV, ia disuapkan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo petrol yang dipadankan bersama motor elektrik, yang menghasilkan kuasa mencecah 346 hp (351 PS atau 255 kW) dan tork 648 Nm. Ia juga dipadankan dengan Hybrid Automatic Transmission sembilan-kelajuan dan sistem 4WD, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat. Untuk menjana motor elektriknya, SUV HEV ini juga diberikan bateri Lithium-ion 1.76 kWh dan menurut GWM, penggunaan bahan api untuk Tank 300 HEV ini dianggarkan sekitar 8.4 liter bagi setiap 100 km.

Untuk SUV segmen-B pula, kami jangkakan ia sebagai GWM Ora 5 Hybrid, yang telah dilancarkan di Thailand baru-baru ini bagi versi EV dan HEV. Ora 5 berukuran 4,471 mm panjang, 1,833 mm lebar dan 1,641 mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 2,720 mm – menjadikannya sekitar 250 mm lebih panjang daripada Good Cat dan hampir sama saiz dengan BYD Atto 3. Dari segi prestasi, ia dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 204 PS (150 kW) yang disambungkan kepada bateri jenis lithium iron phosphate (LFP), namun kapasiti bateri belum didedahkan.

GWM Tank 300 HEV dilancar di Malaysia tahun ini – juga bakal tiba SUV segmen-B, segmen-C mewah
GWM Tank 300 HEV dilancar di Malaysia tahun ini – juga bakal tiba SUV segmen-B, segmen-C mewah
GWM Tank 300 HEV dilancar di Malaysia tahun ini – juga bakal tiba SUV segmen-B, segmen-C mewah

Bagi SUV segmen-C pula, kebarangkalian Haval Raptor (atau dikenali sebagai Menglong di pasaran China) yang akan dibawa masuk ke sini. Ia dipadan dengan enjin 1.5 liter Hi4 PHEV yang mampu menghamburkan kuasa hingga 370 hp dan tork 750 Nm, dengan pilihan bateri sama ada berkapasiti 19.1 kWh atau 27.5 kWh, menawarkan jarak gerak pacuan elektrik hingga 145 km mengikut standard CLTC.

Apabila GWM Malaysia mengesahkan akan membawa masuk SUV segmen-C mewah, kami terbayangkan Wey 03, atau turut dikenali sebagai Wey Coffee 02 di Eropah dan Wey Latte di negara kelahirannya, di China. Model PHEV ini mampu menghamburkan kuasa hingga 442 PS/685 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.3 saat. Ia juga diberikan bateri berkapasiti 35.43 kWh dan mampu mencapai jarak gerak EV hingga 136 km mengikut standard WLTP. Bateri tersebut boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 50 kW dan AC 11 kW.

Wey 03 dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbo dengan motor elektrik di hadapan dan satu lagi motor elektrik di belakang. Sistem pacuan semua-rodanya dipacukan menerusi transmisi DCT kering sembilan-kelajuan. Walau bagaimana pun, ia hanya jangkaan kami sahaja dan kena nantikan pengumuman selanjutnya dari GWM sendiri, model apakah yang bakal menerjah pasaran Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2028 selain Tank 300 HEV.

The post GWM Tank 300 HEV dilancar di Malaysia tahun ini – juga bakal tiba SUV segmen-B, segmen-C mewah appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts