GWM Malaysia hari ini memperkenalkan barisan baharu bagi Ora Good Cat 2026 yang kini ditampilkan dengan gaya lebih berani dan ciri yang dipertingkatkan. Ia menampilkan dua varian iaitu Good Cat Ultra yang ditawarkan pada harga bermula RM109,800 dan model spesifikasi yang lebih sporty, Good Cat GT, berharga dari RM119,800.
Walau bagaimana pun, GWM Malaysia menawarkan diskaun tambahan sebanyak RM3,000 bagi pembeli Ora Good Cat 2026 yang mendaftarnya sebelum 31 Disember 2025. Menjadikan harganya dari RM106,800 untuk Good Cat Ultra, dan
Good Cat GT berharga RM116,800 sepanjang tempoh early bird ini. Pembelian model ini dilindungi dengan waranti kenderaan selama lima-tahun/150,000 km dan waranti bateri selama lapan-tahun/180,000 km.
Seperti model sebelum ini, tiada perubahan dari segi penjana kuasanya. Bagi Good Cat GT, ia disuapkan dengan motor elektrik tunggal, berkuasa 171 PS (126 kW) dan tork 250 Nm. Manakala Good Cat Ultra pula diberikan motor elektrik yang mampu memberikannya output 143 PS (105 kW) dan tork 210 Nm. Kedua-dua varian ini mampu mencapai kelajuan maksimum yang sama mencecah 150 km/j.
Walau bagaimana pun, kedua-duanya kini dijanakan oleh bateri baharu iaitu SVOLT-LFP (lithium iron prosphate)
berkapasiti 57.7 kWh, namun memberikannya jarak gerak yang berbeza iaitu 480 km untuk Good Cat Ultra dan 460 km bagi Good Cat GT, kedua-duanya mengikut standard NEDC. Bateri ini boleh menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 60 kW dengan status pengecasan antara 30-80% dalam 38 minit. Namun jika menggunakan pengecas AC berkapasiti 6.6 kW, ia mengambil masa selama sembilan jam untuk bateri tersebut penuh.
Kedua-dua varian diberikan mod pemanduan Normal, Sport, ECO, ECO+ dan Auto serta Waiting Mode. Manakala GT menerima ciri tambahan iaitu mod pemanduan Individual dan Launch Control. Untuk sistem suspensinya, ia berkongsikan ciri yang sama iaitu MacPherson Independent Suspension dengan palang penstabilan di hadapan dan torsion beam di belakang,
Untuk imej luarannya, kedua-dua varian ditampilkan dengan gaya retro-futuristik ikonik serta gabungan warna baharu yang lebih menyerlah. Diberikan lampu utama LED pintar dengan fungsi Auto On-Off, sistem Follow-Me Home dan Auto High-low Beam, lampu nyalaan siang (DRL) LED, jaluran lampu belakang LED (dengan efek Welcome Light untuk GT), gril hadapan dengan corong pengambilan udara aktif, bilah pengilap cermin automatik dan bumbung suria panoramik elektrik. Untuk pintu tailgate, ciri bukaan bebas tangan elektrik diberikan untuk varian GT dan manual bagi Ultra.
Bagi varian GT, ia ditampilkan dengan ciri tambahan termasuk kit badan eksklusif dengan bampar depan dan belakang nampak lebih agresif, skirt sisi yang lebih dalam, spoiler pada tailgate yang lebih besar berserta kemasan hitam berkilat untuk penampilan sporty dan berprestasi. Ia turut diserlahkan dengan rim aloi hitam sporty 18-inci dengan jalur kuning, lencana GT khas dan angkup brek kuning.
Menjengah bahagian kabinnya, Good Cat GT diserlahkan dengan jaluran kuning pada papan pemuka, tempat duduk sport GT dengan jahitan kuning kontras dan kemasan kulit suede. Tempah duduk hadapan juga diberikan sistem ventilasi dan urut. Manakala Good Cat Ultra masih mengekalkan elemen retro dengan pilihan warna sama ada hijau-kelabu, coklat-rice dan hijau-rice yang kesemuanya bergantung pada pemilihan warna luaran. Bagi kemasan dalaman dan tempat duduknya, ia dibaluti material kulit sintetik.
Ciri kelengkapan untuk ruang dalaman yang sama untuk kedua-dua varian iaitu roda stereng elektrik dengan suis audio dan maklumat pemanduan, brek parkir elektrik dengan penahan kenderaan auto, tuil penukar gear di belakang stereng dengan cruise control, tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala dengan fungsi memori, dan tempat duduk penumpang belakang larasan kuasa empat-hala (larasan manual untuk Ultra).
Selain itu, ia turut diberikan USP port untuk penumpang hadapan dan belakang, USB port untuk dashcam, power suply slot (12V), paparan informasi digital tujuh-inci, pengecas tanpa wayar 50-Watt, penyaman udaea automatik dengan penapis PM 2.5, Vehicle-to-load (V2L), paparan multimedia skrin sesentuh 10.25-inci, enam-pembesar suara dan sokongan aplikasi My GWM, Apple CarPlay, Android Auto, Bluetooth dan MP5.
Untuk aspek keselamatan, barisan Ora Good Cat 2026 ini diberikan enam beg udara, cagak ISOFIX, dan ADAS Tahap 2 dengan ciri termasuk kamera 360°, Traffic Jam Assist, Auto Emergency Braking, Intersection and pedestrian (AEBI), Front Collision Warning, Emergency Braking, Lane Departure Warning, Cornering Brake Control, Wisdom Dodge System, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Rear Cross Traffic Braking, Hill Start Assist, Traction Control System, Door Open Warning, Traffic Sign Recognition & Speed Alarm dan Emergency Signal System.
Barisan Good Cat kini hadir dengan gabungan warna baharu So Blue dengan bumbung hitam, dan juga pilihan warna lain iaitu Hazel Wood Beige dengan bumbung coklat, Pistachio Green dan khas untuk GT diberikan tambahan dua rona iaitu Aqua Grey dan Sun Black.
GALERI: Ora Good Cat Ultra 2026
GALERI: Ora Good Cat GT 2026
The post GWM Ora Good Cat Ultra dan Good Cat GT 2026 dilancar di M’sia – bateri LFP baharu, dari RM107k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




































































































































