Great Wall Motor (GWM) Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan bagi model Ora Good Cat 2026 kini sudah pun boleh ditempah. Versi kemaskini berkenaan menerima beberapa penambahbaikkan termasuk diberikan bateri baharu dan juga penambahan varian GT yang lebih agresif bukan sahaja dari segi rupa, malah lebih berkuasa.
Kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini menyebut bahawa Ora Good Cat 2026 ini akan dijual pada harga jangkaan di bawah RM115,000 untuk varian biasa, manakala Ora Good Cat GT pula akan dijual pada harga jangkaan di bawah RM125,000. Buat masa sekarang model sedia ada dijual pada harga atas jalan tanpa insuran untuk varian asas 400 Pro dan RM144,500 untuk varian tertinggi 500 Ultra.
Good Cat dilancarkan pada pasaran Malaysia buat pertama kali sejak 2022, dan tiada perubahan ketara sepanjang jualannya sehingga kini. Antara penyegaran kecil diberikan termasuk pengenalan warna badan baharu dan juga warna dalaman dua tona yang ditawarkan pada Februari tahun lalu.
Bagi kemaskini terbaharu yang bakal dilancarkan ini, Good Cat akan menerima rupa luaran yang “disegarkan semula” menurut GWM Malaysia. Jun lalu Good Cat baru sahaja diperkenalkan dalam versi facelift melibatkan rekaan semula dibuat pada bampar yang tiada lagi sebarang kemasan krom dan diberikan gril bawah lebih besar serta ditambah dengan liang aliran udara sisi.
Ada kemungkinan Malaysia akan menerima facelift yang sama, tetapi, dalam imej teaser yang siarkan pada laman Facebook GWM Malaysia bayangan yang diberikan seperti ia masih diberikan bampar yang sama seperti model sebelumnya.
Walau bagaimanapun, Ora Good baharu ini dijanjikan dengan perubahan yang pasti pada unit rangkaian kuasa. Tidak seperti sebelum ini di mana varian 400 Pro menerima bateri litium logam fosfat (LFP) 47.8 kWj dan 500 Ultra diberikan bateri nikel mangan kobalt (NMC) 63.1 kWj di mana kedua-duanya dibekalkan oleh CATL, semua varian bagi Godd Cat baharu yang akan dilancarkan ini menerima bateri LFP 57.7 kWj yang dibekalkan oleh SVOLT.
Bateri baharu ini didakwa mampu memberikan jarak gerak sejauh 480 km dalam kitaran ujian NEDC – lebih jauh berbanding varian 400 Pro dengan jarak 400 km, tetapi sedikit kurang berbanding varian 500 Ultra dengan jarak 500 km.
Untuk mengecas, sistem AC masih kekal dengan 6.6 kW, manakala untuk pengecas pantas DC ia mampu menerima sehingga 60 kW yang membolehkan cas dari 30-80% dipenuhkan dalam masa 38 minit. Sebagai perbandingan cas DC bagi varian 400 Pro sebelum ini boleh dipenuhkan dalam jumlah sama selama 32 minit, manakala varian Ultra pula mengambil masa selama 40 minit.
Bagi varian asas, ia masih diberikan motor elektrik tunggal berkuasa 143 PS (105 kW) dan tork 210 Nm yang sama seperti sebelum ini bagi memacu roda hadapan. Perincian lain yang turut dinyatakan adalah termasuk skrin sesentuh untuk sistem infotainmen 10.25-inci, upholsteri leatherette, ADAS Tahap 2, kamera 360-darjah, fungsi telematik menerusi aplikasi My GWN serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.
Kami turut jangkakan model kemaskini ini akan menerima perubahan yang sama seperti model pasaran Thailand dengan diberikan tuil tukaran gear pada kolum stereng berbanding suis putar yang terletak pada konsol tengah pada versi sebelum ini.
Manakala bagi Good Cat GT, ia sebelum ini telah membuat kemnculan ketika perbarisan hari kebangsaan pada Ogos lalu. Ia tampil lebih agresif berbanding varian biasa dengan pemadanan bampar hadapan yang berlainan dengan tirai udara sisi yang lebih menyerlah, ditambah dengan skirt sisi dan juga panel pelindung pada setiap ruang roda – di mana semua perincian yang disebutkan ini menerima kemasan seakan gentian karbon.
Selain itu ia juga diberikan spoiler bumbung ‘GT’ yang lebih besar, kemasan seperti diffuser di bawah bampar belakang dan dilengkapkan dengan set rim aloi dua tona berdiameter 18-inci. Varian ini juga menerima banyak serlahan warna kuning, termasuk pada bahagian dalaman seperti pada papan pemuka, panel pintu dan juga pada tempat duduk termasuk sulaman logo GT pada perehat kepala. Bahagian dalaman Good Cat GT ini juga diberikan upholsteri gandingan sued dan kulit pada tempat duduk.
Seperti yang disebut tadi, varian GT ini masih dipadankan dengan bateri LFP 57.7 kWj, namun motor elektrik tunggal memacu roda hadapan yang dibekalkan adalah lebuh berkuasa menghasilkan 171 PS (126 kW) dan tork maksima 250 Nm. Lain-lain perincian masih lagi sama seperti varian asas, tetapi Good Cat GT ini ditambah dengan fungsi Launch Control.
GALERI: Ora Good Cat GT di Perarakan Hari Kemerdekaan 2025
The post GWM Ora Good Cat 2026 sudah boleh ditempah di Malaysia – varian GT baru 171 PS, bateri LFP 57.7 kWj appeared first on Paul Tan’s Automotive News.